Buka sempadan Malaysia - Singapura: Laksanakan konsep gelembung perjalanan khas

 






POSTED BY AMIR WRLR


Sempadan darat Malaysia dan Singapura seharusnya boleh dibuka dengan mengenakan prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang dipersetujui kedua-dua negara.

Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor, Syed Ibrahim Syed Noh, saranan yang dibuat kerajaan Johor kepada Kerajaan Persekutuan baru-baru ini mengenai pembukaan sempadan di kesemua laluan masuk merupakan langkah yang tepat memandangkan hal itu telah banyak kali disuarakan oleh rakyat di kedua-dua negara.

"Pembukaan sempadan ini juga telah saya bawakan dalam persidangan Dewan Rakyat yang lalu, menyentuh secara khusus berkenaan nasib warga Malaysia yang bekerja di Singapura.

"Akibat wabak Covid-19 dan pelaksanaan penutupan sempadan, ramai warga Malaysia bekerja di Singapura yang tidak dapat menjalankan tanggungjawab bekerja sehingga memberi kesan kepada aspek kewangan keluarga.

"Tambahan lagi, rakyat Malaysia yang dipanggil bekerja ke Singapura terpaksa menanggung beban kos yang sangat tinggi untuk mengikut syarat SOP merentas sempadan dalam waktu pandemik ini. Dengan penetapan SOP yang mengelirukan dan sangat ketat di kedua-dua negara, ramai yang bergadai dan kehabisan wang demi peluang kerja menyara keluarga, bahkan ada yang terpaksa berhenti kerja.

"Selain itu, menurut laporan yang saya terima, urusan membawa keluar kontena barang eksport melalui sempadan juga turut terganggu. Prosedur dan birokrasi di sempadan telah mengakibatkan kerugian kepada syarikat-syarikat tempatan serta menyebabkan kesukaran

kepada pemandu-pemandu lori kontena," kata Syed Ibrahim dalam satu kenyataan.

Oleh yang demikian, menurut Ahli Parlimen Ledang itu, mengambilkira proses vaksinasi yang rancak di kedua-dua belah negara serta pengurangan kes-kes Covid 19 di Johor dan kawasan sekitarnya, pembukaan sempadan wajar dilaksanakan dalam waktu terdekat.

"Mengambil kira faktor pengalaman menguruskan pencegahan penularan wabak Covid19 dan siri pengenalan vaksin Covid yang telah dilaksanakan di Malaysia dan Singapura, saya menggesa Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Luar Negeri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kesihatan meneliti cadangan pelaksanaan 'gelembung perjalanan khas Malaysia-Singapura'.

"Sebagai contoh, individu yang sudah mengambil vaksin dan mempunyai sijil vaksin wajar dibenarkan untuk merentas sempadan negara dengan langkah yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Saya percaya, jika langkah ini dilaksana dengan pematuhan seluruh SOP yang ditetapkan, ia akan membawa kebaikan kepada keadaan kewangan rakyat Malaysia dan negara umumnya," katanya lagi.

 

No comments: