Tiba-tiba saja saya terjaga dari tidur yang lena. Jari-jari saya terus menulis. Meski baharu saja menulis mengenai politik selingkaran diri ini. Rasanya belum kering dakwat ini.
Sebagai penulis, seboleh-bolehnya menulis tidak terlalu kerap menulis. Bimbang tulisannya menjemu dan membuatkan orang menyampah. Lebih-lebih lagi jika merasakan dirinya sebagai penulis serba tahu lagi tersohor.
Saya menulis bukan untuk mengajar pembaca yang jauh lebih arif. Saya menulis kerana desakan jiwa yang memberontak kecewa, marah dan sakit. Sepatah kata yang lahir, sedikit reda kesakitan itu. Itulah derita yang ditanggung oleh penulis.
Mungkin saya belum tahu nikmat menjadi menteri, wakil rakyat, ada jawatan dalam GLC. Maka bolehlah saya berasa begitu. Jika sudah tahu tinggi langit dan manisnya madu, barulah saya berasa tidak ada apa yang perlu mengganggu tidur. Nyenyaklah perbaringan di malam hari bersama isteri.
Berita tiga, empat rakan saya beralih wadah perjuangan memang tidak mengejutkan. Sudah lama anginnya bertiup. Sesekali datang dan pergi. Akan tetapi tidak semudah itu untuk saya menerima.
Lagi pedih bilamana musuh dan rakan politik mencemuh dan mengata macam-macam. Seolah-olah diri mereka jauh lebih aulia, mulia dan suci.
Memang secara psikologinya, kita tidak berasa senang melihat orang lain senang dan tenang. Sedaya upaya jiwa akan cemburu. Selagi ada rasa ‘orang kita’ dan ‘orang lain’, sifat itu tetap wujud dalam diri manusia normal.
Bintang di cakerawala sentiasa menggamit datang. Jika tidak kerana sayap kecil, masakan tidak boleh terbang. Apatah untuk menggapai bintang di langit tinggi. Kemungkinan itu sering berbolak balik untuk sesiapapun nekad meninggalkan sarang tempat kami berteduh sekian lama.
Pemimpin politik mesti mempunyai nekad berkorban demi melihat perjuangan ini diterjemahkan melalui tangan-tangan lain. Akan tetapi tidaklah sampai membunuh diri sendiri seperti lilin yang terbakar.
Pengorbanan ada batas dan sempadannya. Begitulah juga kesabaran dan kemarahan. Mengimbangi semua perkara bukan kerja mengukur sebarangan. Di sinilah letaknya kebijaksanaan pemimpin berhadapan cabaran.
Kiranya kebijaksanaan itu dapat ditulis atau diterangkan, maka mudah dunia ini. Kebijaksanaan lahir dari pengalaman, pengetahuan dan mekanisme jiwa mengawal tindakan yang sangat kompleks untuk diterangkan.
Ada yang cuba merasionalisasikan tindakan menyertai parti rakan dan meninggalkan parti sendiri untuk kuatkan PH. Bukan menyertai parti lawan. Masih kekal menentang PN dan MN. Sungguh.
Sesekali termakan juga hujah budak darjah lima ini.
Bukankah tindakan mereka itu sebenarnya menjadikan AMANAH semakin tersepit dan dihimpit? Tidakkah mereka memahami bahawa kiranya AMANAH menjadi lemah, kesannya akan melemahkan PH?
Persoalan ini nantinya akan dijawab bahawa jika parti kawan kuat, bukankah PH semakin kuat? Bukankah ketika itu, AMANAH juga yang beruntung?
Maka akan ditanya pula. Mana lebih utama antara kepentingan AMANAH atau PH atau Pejuang? Lalu akan dijawab, mana lebih utama kepentingan parti atau lebih utama kepentingan peribadi?
Nasib baik PKR atau Pejuang ambil. Jika tidak, mungkin PN dan MN tawarkan lebih kepada mereka. Bayangkan jika begitu. Akhirnya mereka lawan kita balik. Itu pula hujah mereka. Mahu berlawan hujah lagi? Ada.
Jika saling berlawan hujah, perjuangan PH hanya berada dalam lingkungan sama. Pi mai pi mai, tang tu. Membuang masa dan tenaga. Move on, kata orang putih. Teruskan berjuang.
Mereka yang ‘lari’ atau apa jua istilah yang keluar sama ada ‘lompat’, ‘beralih’, ‘berhijrah’ dan sebagainya perlu koreksi diri. Apa yang kalian kejar? Kuasa, jawatan atau kedudukan? Semua sudah ada pada kalian. Nikmat mana yang hendak kamu nafikan?
Yang ditinggalkan juga perlu sama koreksi diri. Namun, tidak semudah kata. Masing-masing sudah miliki harga diri, kedudukan dan kuasa. Tidak sama berjuang zaman senang dengan zaman susah.
Zaman perjuangan bermodalkan hanya idealisme sudah mati. Sekarang adalah zaman peluang datang dan pergi. Jika diam berdiri, duduk bersantai, peluang itu tidak akan datang lagi. Kautlah selagi terdaya.
Rakyat, tanah air, agama dan bangsa kekal menjadi modal untuk berkuasa. Setelah kuasa berada di tangan, kaki akan melangkah pergi meninggalkan semua itu sebagai suatu kenangan sahaja.
Pengerusi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Cikgu Azmi Abdul Hamid, menyatakan bahawa masyarakat sudah muak dengan orang politik yang hanya sibuk mengurus kepentingan politik masing-masing.
Politik tanah air merudum teruk sehingga berada pada tahap yang sangat jijik.
Demokrasi dipermainkan dan rakyat pula dipaksa untuk memerhatikan gelagat ahli politik tanpa boleh berbuat apa-apa.
Ahli politik lebih ghairah bersiap untuk pilihan raya, membahagi-bahagikan kerusi, tawar-menawar jawatan dalam keadaan rakyat tercungap-cungap menghadapi kesempitan hidup. Pengorbanan rakyat dalam pilihan raya umum lepas disia-siakan oleh ahli politik.
PN dan MN bebas membeli atau mempengaruhi ahli politik PH menyertai mereka. Itu politik. Memasuki kota dari rekahan tembok jika pintu kota terkunci rapat. Siapa yang jiwanya rapuh, akan menjadi sasaran musuh.
Memang ada jiwa pemimpin PH serapuh kapur. Larut meski dengan air yang mengalir perlahan dan lesu.
Sejarah perselingkuhan politik ini akan dibaca dan ditelaah seribu tahun lagi. Dari satu generasi ke satu generasi. Selama itulah beban sejarah pasti menghantui hingga ke liang lahad.
Pada akhirnya negara akan diterajui manusia-manusia yang hanya mengaut keuntungan jangka pendek dan peribadi. Idealisme perjuangan hanya bintang di langit tinggi. Utopia.
Negara hanya rangka kepada raksasa yang membaham segala yang ada di bawah kangkangnya. Taring, kuku dan lidah raksasa adalah pemimpin korup. Korup dengan rasuah. Korup dengan jawatan. Korup dengan kawan.
Melayang setinggi manapun, langit itu tidak tertembus. Melompat setinggi manapun, bintang tidak akan tergapai.
Siapa lagi yang harus kita harapkan selepas ini?
*DR MUHAIMIN SULAM adalah Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Naib Pengerusi AMANAH Perak.