Panas! Anwar dakwa 2 MP lompat parti libatkan jutaan ringgit

 


Panas! Anwar dakwa 2 MP lompat parti libatkan jutaan ringgit

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Ahli Parlimen Tebrau dan Julau ditawarkan jutaan ringgit untuk meninggalkan parti itu dan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Beliau juga yakin Steven Choong (Tebrau) dan Larry Sng (Julau) turut menerima tekanan lain selain ditawarkan wang ringgit.

“Memang benar hak mana-mana ahli untuk memilih parti dia. Tetapi dalam kes dua ahli Parlimen keluar sudah tentunya ada tekanan lain.

“Saya dapat maklumat jutaan ringgit tetapi kalau nampak tak boleh (mereka) guna agensi penguat kuasa. Tak ada masalah kalau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) atau lembaga cukai dia berhak teruskan tindakan kepada pembangkang dan kerajaan.

“Menteri-menteri yang mewah pun begitu (ambil tindakan). Yang kita tahu kehidupan mewah kenapa tak disentuh,” soalnya pada ketika sidang media selepas pelancaran Hotel Pacific Regency di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.

Anwar bagaimanapun menyelar tindakan itu yang padanya tidak beretika.

“Jadi kalau nak ambil tindakan termasuk kepada pembangkang, silakan. Tetapi jangan gunakan ini, sebagai satu tarik tali untuk menekan mereka supaya melompat ke parti lain. Paling tak etika dan paling bankrap dari segi politik ini dilakukan. Ini tentu akan lawan dan dedah kerja ini,” ujarnya.

Anwar dalam pada itu berkata, PN masih tidak berjaya meraih sokongan majoriti  meskipun menerima sokongan daripada dua ahli Parlimen PKR baru-baru ini.

“Dengan dua yang lompat mereka masih minoriti. Jauh jumlahnya kecil daripada kita,” katanya lagi.

Pada 28 Febuari yang lalu, ahli Parlimen PKR masing-masing daripada Tebrau dan Julau Sarawak mengumumkan keluar parti itu dan menyatakan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Perkara itu dikongsi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin di laman Facebook selepas menerima akuan bersumpah daripada Steven dan Larry.

Mengenai beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Amanah yang menyertai PKR, Anwar berkata, mereka disuruh berurusan dengan pucuk pimpinan parti mereka terlebih dahulu.

“Tetapi kita minta perkara ini dibincang dan dileraikan dengan cara baik di antara PKR dan Amanah. Tidak terjejas sangat, saya fikir tidak terjejas, saya masih berhubung rapat dan baik dengan Amanah,” katanya. 



No comments: