Kesemua 22 Ahli Parlimen dari Selangor dan 56 Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) tidak kira dari kerajaan mahupun pembangkang menerima peruntukan
bagi melaksanakan Program Mesra Rakyat dan membantu meringankan beban rakyat
ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran peningkatan kes Covid-19.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata sebanyak RM5.6 juta disediakan untuk peruntukan khas DUN manakala peruntukan khas Parlimen sebanyak RM1.1 juta.
Katanya, sejumlah RM100,000 akan diterima oleh setiap ADUN manakala RM50,000 diberikan kepada ahli Parlimen.
“Berikutan keadaan pandemik yang terus melarat, kita bersetuju meluluskan Peruntukan Khas Selangor Mesra Rakyat kepada 56 DUN dan ahli parlimen dengan kadar segera,” katanya ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor.
Beliau berkata, peruntukan khas itu adalah bagi memastikan rakyat di seluruh negeri Selangor menerima perolehan bekalan asas yang mencukupi seperti beras, minyak masak, tepung dan makanan dalam tin.