Bob Kelanang
Penularan Covid-19 memang tidak mengenal siapa termasuk ahli politik. Virus berasal dari Wuhan, China itu juga tidak peduli parti mana yang dianut ahli politik.
Pola jangkitan Covid-19 dalam kalangan ahli politik melonjak selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September 2020.
Serentak dengan peningkatan mendadak kes jangkitan pandemik di Sabah, virus itu turut menjalar ke Semenanjung apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beberapa kali menyatakan tidak perlu kuarantin untuk mereka yang pulang dari Sabah.
Paling awal, menteri Umno itu berkata demikian pada 12 September 2020 walaupun kes Covid-19 di Tawau dan Lahad Datu mencatatkan angka membimbangkan dengan 49 kes baharu Sabah dilapor ketika itu manakala Kedah hanya lima kes serta Selangor dan Kuala Lumpur masing-masing dua kes baharu.
Menjengah ke tahun baharu 2021, satu demi satu ahli politik sah dijangkiti virus yang sudah membunuh 619 orang setakat semalam.
Susulan kebenaran merentas daerah dan negeri seluruh negara kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 7 Disember lalu, kes harian meningkat mendadak.
Sehingga semalam, tiada lagi zon hijau di Semenanjung sementara di Sarawak pula zon hijau semakin berkurang. Perlis juga berada dalam zon merah.
Kementerian Kesihatan (KKM) juga memaklumkan kes pesakit Tahap 4 dan 5 iaitu pesakit kategori serius di hospital semakin meningkat kepada 15 peratus.
Setakat 12 tengah hari semalam, seramai 238 pesakit sedang mendapat rawatan di ICU termasuk 96 menggunakan alat bantuan pernafasan. Angka di ICU sudah mencecah tiga digit.
Tinggi ‘harga’ untuk dibayar untuk memastikan aktiviti ekonomi bernafas dengan jumlah 165,371 kes positif Covid-19 di negara ini setakat semalam.
Angka tersebut merangkumi ahli politik pelbagai parti. Berikut disenaraikan ahli politik termasuk menteri dan senator yang sah dijangkiti Covid-19 bermula sejak PRN Sabah September lalu sehingga hari ini, memetik laporan Malaysia Dateline:
1. Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Razlan Rafii
2. Timbalan Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan
3. Calon BN DUN Pitas, Sufian Abdul Karim
4. Setiausaha AMANAH Pulau Pinang, Saifullah Abdul Nasir
5. ADUN Ayer Limau dari Umno, Amiruddin Yusof
6. ADUN Lunas (bekas PKR), Azman Nasrudin
7. Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad yang juga Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air
8. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
9. ADUN Kampung Tunku dari DAP, Lim Yi Wei
10. ADUN Kota Damansara dari PKR, Shatiri Mansor
11. ADUN Maharani dari AMANAH, Nor Hayati Bachok
12. Ahli Parlimen Keningau dari STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan
13. ADUN Bingkor dari STAR, Robert Tawik
14. Ahli Parlimen Jeli dari Bersatu, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)
15. Ahli Parlimen Titiwangsa dari Bersatu, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
16. ADUN Nenggiri dari BN, Ab Aziz Yusof
17. Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani
18. ADUN Galas dari BN, Mohd Syahbuddin Hashim
19. Ahli Parlimen Gua Musang dari BN, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat Umno.
20. ADUN Parit Yaani dari AMANAH, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor.
21. Ahli Parlimen Padang Besar dari Umno, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.
22. Ahli Parlimen Larut dari Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang juga Menteri Dalam Negeri.
23. Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Khamarulazlan Mohamad Hanafiah.
24. Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali.
25. Senator dari PKR, Yaakob Sapari
26. Senator Idris Ahmad yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Naib Presiden Pas
27. Ahli Parlimen Padang Rengas dari BN, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
28. Ahli Parlimen Kota Tinggi dari BN, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang juga Menteri Perpaduan Negara
29. ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang juga Menteri Besar Terengganu dan Pengerusi BN negeri.
30. Ahli Parlimen Pasir Salak dari BN, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.