Menteri KPM perlu beri tumpuan perkasakan kaedah PdPR berbanding buka sekolah

 

Menteri KPM perlu beri tumpuan perkasakan kaedah PdPR berbanding buka sekolah

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) perlu memberi tumpuan terhadap pemerkasaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berbanding membuka semula sekolah buat masa ini.

Menurut Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir, tindakan tersebut perlu dilakukan KPM memandangkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 yang masih tinggi iaitu pada paras melebihi 1.0.

“KPM seharusnya mengambil pengajaran dengan apa yang berlaku di Maktab Rendah Sains Mara Lipis apabila 144 pelajar dikuarantin setelah seorang daripada pelajarnya didapati positif Covid-19.

“Keadaan kini lebih berbahaya apabila muncul strain virus UK B117 yang lebih mudah menjangkiti kanak-kanak.

“Tanpa tindakan segera, masalah ini akan memberi kesan jangka panjang yang lebih parah kepada negara iaitu peningkatan terhadap jurang generasi (generation gap),” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, satu task force bersepadu perlu diwujudkan KPM bagi memperhalusi dan memperkemas sistem pembelajaran fasa PdPR dan task force tersebut perlu melibatkan ahli Parlimen daripada pembangkang dan pihak-pihak berkepentingan daripada kumpulan masyarakat awam.

“Menteri KPM seharusnya mengambil langkah yang lebih proaktif dengan membentangkan pelan strategi pelaksanaan PdPR yang lebih sistematik, berkualiti dan cekap bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan sebagai fasa awal.

“Sebagai contoh Buku Manual PdPR yang dikeluarkan KPM pula dilihat tidak cukup komprehensif dan meletakkan bebanan yang terlalu besar ke atas para guru yang diminta untuk menetapkan sendiri kaedah pentaksiran untuk menilai prestasi murid dalam sesi PdPR.

“Dalam buku tersebut masih tidak jelas sama ada guru-guru akan diminta untuk menghabiskan sukatan mata pelajaran seperti normal biasa atau ada silibus khas yang telah disesuaikan dengan normal pembelajaran yang baharu.

“Dengan cara ini semua pihak berkepentingan khususnya guru-guru dan ibu bapa dapat memahami hala tuju yang jelas tentang proses pembelajaran yang akan dilalui oleh para pelajar sepanjang tempoh genting ini,” katanya

Ujarnya lagi, KPM perlu membentangkan data terkini mengenai kadar partisipasi pelajar dalam PdPR setelah hampir setahun kaedah ini berjalan memandangkan data sebelum ini hanya menunjukkan sehingga April 2020.

Dalam pada itu, AMK juga menyarankan agar KPM memandang serius terhadap situasi para pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Kata Akmal, semestinya emosi dan motivasi para pelajar ini terjejas akibat suasana genting dan hal ini boleh mengganggu prestasi mereka dalam peperiksaan.

“Secara umumnya terlalu banyak perkara yang masih tidak jelas mengenai situasi pendidikan negara ketika ini.

“AMK merasakan perlu ada semakan menyeluruh bagi memastikan proses pembelajaran para pelajar tidak tergendala,” katanya.