Siapa 'ulamak terompah'? Gelaran ini sering dirujuk oleh
Almarhum Tok Guru Nik Aziz terhadap mana-mana ulamak yang 'mengampu' dan
'menjilat' pemerintah, lebih-lebih lagi pemerintah itu pemerintah yang zalim,
yakni pemerintah yang tidak dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya dan pemerintah
yang hilang sokongan majoriti di Parlimen.
Dalam mengulas isu darurat yang dikuatkuasakan oleh kerajaan
sehinggakan Parlimen dan Dun tidak boleh bersidang, meskipun undang-undang
PKP/PKPB tetap juga berjalan, Hadi Awang sempat 'menjual.agama' apabila membawa
dalil dengan memetik kata-kata Sayyidina Uthman, "Sesungguhnya Allah
mengizinkan pihak yang berkuasa memerintah untuk melaksanakan apa yang tidak
diperintahkan oleh al-Quran.”
Sewajarnya Hadi sebut, sebelum "pemerintah boleh laksanakan
apa yang tidak diperintah oleh Al-Quran", beliau kena berani menyebut
bahawa "pemerintah wajib melaksanakan apa yang Al-Quran perintah"
terlebih dahulu. Mengapa Hadi takut mahu sebut? Masakan dengan hanya dapat gaji
dan elaun duta khas bertaraf menteri tanpa kerja itu sudah cukup mengeraskan
lidah Hadi untuk berkata benar di hadapan pemerintah?
Apakah yang wajib bagi pemerintah ikut Al-Quran? Tidak perlu
bercakap tentang hukum hudud lah, atau bercakap pasal RUU Akta 355, ini semua
memang Hadi dah lama lupa. Dia akan ingat semula Hudud ini bila dia jadi
Pembangkang semula nanti. Kita bercakap soal 'ketidakadilan" dan
"kezaliman" pun sudah cukup untuk kita menyatakan pemerintah yang
berkuasa ikut atap ini terang-terang melanggar perintah Al-Quran. Kenapa tidak
berani sebut tentang penambahan cabutan judi? Ikut Al-Quran?
Apa itu "kezaliman"? "Meletakkan sesuatu bukan
pada tempatnya", itulah kezaliman. Meletakkan kerajaan PN sebagai kerajaan
tebuk atap yang memerintah, itu satu kezaliman kerana kerajaan PN bukan kerajaan
yang dipilih melalui demokrasi. Mereka jadi kerajaan adalah hasil dari tindakan
"khianat" dan 'belot' kepada rakan-rakan mereka, lebih-lebih lagi
khianat kepada mandat rakyat. Perbuatan khianat ini pula disokong oleh Hadi dan
partinya. Adakah Al-Quran mengajar kita agar bekerjasama dengan pengkhianat?
Lupakah Hadi partinya juga pernah dikhianati di Perak sewaktu YB Nizar dari Pas
jadi MB Perak? Bukankah mulut Hadi sendiri menyatakan 'haram" khianat?
Kenapa sekarang jadi halal? Kerana dapat jawatan duta khas?
Sedarkah Hadi, PM sekarang tiada majoriti di kalangan MP-MP?
Bila tiada majoriti, layakkah dia jadi PM? Bila tidak layak, ertinya PM
sekarang berada di kerusi atau tempat yang salah. Meletakkan sesuatu yang bukan
di tempatnya, itu satu kezaliman. Bukankah itu yang mulut kamu ajarkan selama
ini? Mengapa Hadi sokong perbuatan zalim? Mengapa disorokkan banyak dalil dan
nas tentang 'keadilan" dan "kezaliman"? Mengapa petik dalil yang
tiada kaitan dengan darurat?
Pas semakin jauh mengarut semenjak berada dalam 'tong
najis". Apabila manusia itu berhadapan dengan ' 3 Ta", maka hanyutlah
mereka. Tiga 'Ta' itu adalah " harta, takhta dan wanita". Di sinilah
Hadi tersesat. Itulah maksudnya "Ulamak Terompah".
WFAUZDIN NS