MUHYIDDIN HARUS BUANG EGO, FIKIR MASA DEPAN NEGARA DAN JANGAN SAMPAI NASIB TRUMP MENIMPA DIRINYA


Kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang tiada lagi sokongan majoriti bukan suatu perkara rahsia, malah semakin difahami serta diakui oleh pelbagai kelompok masyarakat negara ini.


Menangguh-nangguh sidang Parlimen, takut membenarkan usul undi tidak percaya atau usul percaya, melambakkan jawatan sebagai habuan kepada Ahli-Ahli Parlimen dan terakhir, menasihatkan Agong untuk menguatkuasakan darurat selepas UMNO meluluskan usul putus hubungan dengan Bersatu dan diikuti dengan seorang demi seorang Ahli Parlimen menarik sokongan, ini adalah realiti kedudukannya yang sudah jadi minoriti.


Perdana Menteri yang ada sokongan majoritinya tidak mungkin melakukan semua perkara di atas, terutama mencadangkan darurat di ketika tiada rusuhan kaum, tiada huru-hara politik dan tidak ada sebarang ancaman yang boleh menggugat keselamatan negara berlaku di depan mata.


Darurat ini tidak lain kerana Muhyiddin sendiri sedang darurat untuk mempertahankan kuasa politik melalui pengkhianatan yang belum pun setahun usianya, di tambah UMNO yang merupakan blok terbesar dalam kerajaan PN dijangka memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu dalam Perhimpunan Agungnya, 31 Januari ini.


Berikutan darurat, di samping PKP yang dilanjutkan lagi sehingga 4 Februari, UMNO akhirnya terpaksa menangguhkan Perhimpunan Agungnya ke tarikh lain yang belum lagi ditentukan.


Dengan itu, sekurang-kurangnya sehingga 31 Januari ini, boleh dikata selamatlah Muhyiddin daripada diberikan talak oleh UMNO.


Tetapi, dengan UMNO sudah meluluskan usul putus hubungan dengan Bersatu, di samping tiga Ahli Parlimen UMNO – Tengku Razaleigh Hamzah, Ahmad Jazlan Yaakob dan Nazri Aziz – telah menarik sokongan, disertai pengakuan Anwar Ibrahim semalam bahawa majoriti Ahli-Ahli Parlimen turut mengutus surat kepada Agong memohon ihsan serta pertimbangan baginda agar mengkaji semula alasan Perdana Menteri bagi menguatkuasakan darurat itu, Muhyiddin sepatutnya berlapang dada serta segera membuang ego besar dalam dirinya.


Bila hilang sokongan, langkah demokrasi yang terpuji dan sewajarnya ialah meletakkan jawatan tanpa bertangguh lagi.


Dalam keadaan dirinya tiada lagi sokongan di Parlimen, Muhyiddin sebenarnya juga semakin dijauhi serta tidak lagi disokong oleh majoriti rakyat.


Tanyalah rakyat kelompok mana sekali pun di negara ini, tidak sukar untuk mendapati bahawa lebih ramai yang menolak serta membenci berbanding menyokongnya.


Di ruangan komen laman sosial Muhyiddin sendiri, jika diperhati, lebih 90 peratus daripadanya penuh dengan kecaman dan kata-kata yang menyakitkan terhadapnya.


Berbanding Najib Razak di tahun-tahun terakhir sebelum kejatuhannya, penolakan yang menandakan kebencian netizen terhadap Muhyiddin ternampak jauh lebih parah lagi.


Kenapa semua ini berlaku?


Rata-rata rakyat melihat Muhyiddin sebagai pemimpin yang hipokrit, cakap tak serupa serta tidak serius membantu rakyat, terutama di ketika ramai yang sedang susah dan sempit hidupnya sewaktu PKP dan darurat ini.


Beliau sering bercakap mengutamakan rakyat dan tidak suka berpolitik, tetapi perlakuannya jelas lebih banyak bermain politik daripada memberi perhatian untuk menolong rakyat.


Pengeluaran KWSP masih dengan syarat yang pelbagai serta menyusahkan, langsung tidak dipermudahkan, manakala rayuan pelbagai pihak agar moratorium pinjaman bank dilanjutkan secara automatik, sama sekali tidak dipedulikannya.


Di ketika PKP dan darurat yang menyebabkan ramai orang hilang pendapatan, termasuk hilang pekerjaan, ditambah harga minyak dan barang keperluan seperti minyak masak terus meningkat tanpa terlihat ada usaha membendungnya, kenapa susah sangat Muhyiddin meluluskan moratorium automatik dan pengeluaran KWSP sepert didesak Anwar dan Najib ketika membahaslan Belanjawan 2021 baru-baru ini?


Kalau meluluskan tiga dewan di Pagoh yang tidak banyak manfaatnya boleh dilakukan, kenapa payah sangat memberi keselesaan kepada rakyat melalui KWSP dan moratorium?


Kesukaran hidup di masa depan lebih terpapar lagi di mata rakyat berikutan beberapa syarikat besar mulai menarik keluar pelaburan mereka untuk berpindah ke negara jiran lantaran, antara puncanya, adalah tifak yakin dengan kestabilan politik di bawah kepimpinanan seorang Perdana Menteri minoriti.


Dengan itu, pasti ramai yang hilang pekerjaan dan jadi penganggur di tahun-tahun mendatang ini, selain pertambahan pengangguran kerana PKP sudah pun sedia mencemaskan kita semua.


Selagi Muhyiddin duduk di kerusi kuasanya, dengan sokongan Ahli Parlimen terhadapnya sudah jadi minoriti, disertai majoriti rakyat tidak lagi bersamnya, masa depan negara ini tidak akan bertambah baik masa depannya.


Orang minoriti patutnya jadi pengikut, bukan jadi ketua yang mencatur kuasa.


Muhyiddin dalam hal ini, harus segera membuang ego besarnya yang mahu terus kekal berkuasa tanpa memikirkan apa jadi kepada rakyat dan juga negara.


Perutusan khas beliau mengumumkan skim bantuan Permai berjumlah RM15 bilion baru-baru nyata ditolak pelbagai pihak kerana banyak isinya adalah ulangan kandungan Belanjawan 2021, sekaligus memperlihatkan Muhyiddin sebenarnya mati idea untuk membawa kebaikan serta kesejahteraan kepada rakyat.


Dalam keadaan ini, perubahan kerajaan adalah pilihan yang sangat diharapkan demi masa depan negara yang lebih baik lagi.


Di samping ada yang menaruh harapan agar Agong dapat segera menggunakan kebijaksanaan berdasarkan perubahan sokongan dimiliki Perdana Menteri yang bukan lagi rahsia serta tidak sukar difahami, tidak kurang pentingnya ialah Muhyiddin sendiri mesti ada tanggungjawab lebih besar memastikan masa depan negara sentiasa terpelihara.


Dengan beliau berjiwa besar, membuang ego, menginsafi tiada lagi sokongan di belakangnya, mengundurkan diri bagi memberi ruang kepada mudahnya perubahan adalah sisa-sisa sikap terpuji yang masih boleh dilakukannya.


Terus berdegil hanya memungkinkan beliau mengulangi nasib Donald Trump bakal menimpa dirinya. (Shahbudindotcom 21/01/2021)



No comments: