KERAJAAN TIDAK PERLU KOTAKAN JANJI PERUNTUKAN JIKA DARURAT?
Kerajaan tidak perlu kotakan janji peruntukan jika darurat?
Perisytiharan darurat yang dilakukan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak 11 Januari lalu terus dikritik pelbagai pihak.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail berkata, darurat tiada kena mengena dengan kempen melawan Covid 19 melainkan hanya untuk menyelamatkan Muhyiddin dan juga cuba menutup kelemahan dalam pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Azan tidak menolak darurat boleh dijadikan alasan untuk tidak menunaikan janji yang telah dibuat dalam pembentangan Belanjawan 2021 lalu.
“Darurat boleh digunakan kerajaan untuk menutup segala perkara yang patutnya mereka kena buat. Yang mereka janji semasa umum belanjawan dan juga belanjawan tambahan untuk rakyat menghadapi Covid-19.
“Sekarang ini rakyat tidak boleh semak dan persoalkan. Muhyiddin pun tak perlu nak beritahu atau dedahkan laporan kepada rakyat.
“Bagi saya darurat ini umpama selimut untuk mereka menyembunyikan diri. Darurat juga lebih teruk daripada undang-undang drakonian yang selalu Dr Mahathir guna seperti OSA, ISA dan sebagainya.
“Muhyiddin berselindung di bawah darurat. Inilah keadaan yang berlaku dan rakyat tak ada sumber (kerana Parlimen digantung) untuk tahu maklumat belanjawan yang diumumkan tahun lalu,” katanya.
Menurut Azan, bukti awal kelemahan kerajaan PN ialah mengisytihar darurat tanpa pelan jangka panjang untuk membantu kehidupan rakyat.
Katanya, darurat sepatutnya muncul dengan pelan bantuan kepada golongan yang terjejas, bukannya satu perisytiharan ‘tunggu dan lihat’.
“Rakyat tidak dibentang apa-apa bantuan. Dia (Muyhiddin) umum darurat begitu sahaja. Rakyat disuruh duduk rumah tetapi tak ada perancangan.
“Kalau betul darurat untuk kebaikan rakyat, dia perlu umumkan pelan semasa 8 bulan darurat ini macam mana, yang berpendapatan sekian-sekian kerajaan kena bantu berapa bil eletrik, bil air dikurangkan dan moratarium berapa bulan, semua pelan ini kena ada.
“Mana boleh kita menjerut leher orang tanpa ada rancangan untuk beri dia bernafas. Nak kurung benda hidup (rakyat) ini kena ada rancangan. Tetapi Muhyiddin tidak begitu,” katanya.
Darurat dilaporkan akan berakhir pada 1 Ogos 2021. Tempoh darurat mungkin dipendekkan sekiranya Yang di-Pertuan Agong berpuas hati keadaan pandemik Covid 19 telah pulih.