PKP 2.0: Pengusaha bas sekolah hadapi masa depan lebih suram

 


PKP 2.0: Pengusaha bas sekolah hadapi masa depan lebih suram

Selepas membelanjakan ribuan ringgit untuk menjalani pemeriksaan Puspakom, ramai pengusaha bas sekolah mengeluh panjang dengan pengumuman mengejut kerajaan menutup sekolah kepada sebilangan besar pelajar, sekaligus menjejaskan mata pencarian mereka.

“Sebuah van sekolah membelanjakan lebih RM1,500 untuk penyelenggaraan, pemeriksaan Puspakom, bayaran insurans dan cukai jalan kenderaan,” kata Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah, Amali Munif Rahmat.

“Perbelanjaan untuk bas sekolah mini dan besar pula lebih RM3,000,” katanya.

Amali berkata, ada pengusaha bas sekolah meminjam daripada saudara-mara, manakala yang lain menggadaikan barang kemas keluarga untuk dijadikan modal perniagaan bagi menghadapi sesi persekolahan yang sebelum dijadualkan bermula pada 20 Jan.

Namun kelmarin, Kementerian Pendidikan mengumumkan hanya pelajar yang menduduki peperiksaan utama seperti SPM dan STPM akan ke sekolah mulai tarikh itu.

Selainnya tidak akan ke sekolah, sebaliknya mereka akan mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pengumuman itu bermakna sebilangan besar penumpang tradisi bas sekolah akan duduk di rumah, akibat pelbagai sekatan pergerakan dan perisytiharan darurat di seluruh negara untuk memerangi Covid-19.

“Pelajar tidak hadir ke sekolah bermakna tiada pendapatan untuk kami,” kata Amali.

Beliau berkata, pengusaha bas sekolah ibarat jatuh ditimpa tangga kerana belum pulih daripada impak perintah kawalan pergerakan (PKP 1.0) tahun lalu.

“Ahli persatuan terpaksa menanggung kerugian sepanjang PKP 1.0 kerana pelajar tidak dibenarkan hadir bersemuka di sekolah. Meskipun begitu, mereka terpaksa membayar ansuran pinjaman dengan syarikat kredit kerana tidak ada kemudahan moratorium diberikan.”

Katanya, pengusaha bas sekolah mengharapkan bantuan kerajaan untuk mengharungi PKP 2.0.

Beliau berharap kerajaan peka dengan beban pengusaha bas sekolah dan akan membela mereka kerana bas sekolah merupakan sumber pengangkutan utama lebih sejuta pelajar di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, katanya, 80% pelajar daripada keluarga B40, justeru kerajaan perlu memastikan rangkaian bas sekolah diberikan bantuan demi kelangsungan perkhidmatan itu dan kebaikan golongan miskin.

No comments: