WARISAN SABAH KENA PILIH ANTARA DUA - DENDAM KEPADA ANWAR LEBIH UTAMA ATAU RAKYAT SABAH LEBIH UTAMA?



Sepanjang perbahasan dan pengundian di peringkat Kementerian yang sedang berlangsung di Parlimen sekarang, nampaknya Warisan langsung tidak menunjukkan minat membawa suara rakyat.

Di peringkat pengundian belah bahagi yang telah berlangsung setakat ini, parti Warisan seolah-olah melupakan tanggungjawab mereka untuk menentang segala kepincangan yang berlaku di peringkat bajet kementerian di mana ahli-ahli Parlimen Warisan tidak mengambil bahagian hanya kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan Anwar Ibrahim. Apakah dengan mendendami Anwar maka nasib rakyat khususnya di Sabah akan terbela?

Ini bukan soal sokong Anwar sebagai Ketua Pembangkang atau sebagai PM. Ini waktu pengundian bajet di setiap kementerian dan ini lebih terperinci dan lebih utama dari pengundian di peringkat dasar. Apakah apa yang diumumkan di peringkat dasar itu benar-benar direalisasikan dengan betul atau hanya perisa di dalam bajet sahaja?

Hari ini difahamkan satu usul yang amat penting yang akan dibawa oleh wakil dari Sabah sendiri untuk rakyat Sabah. Saya penuh yakin, semua MP dari PH tiada masalah untuk menyokong usul ini dan akan menentang apa jua keputusan dari pihak kerajaan yang merugikan rakyat termasuk di Sabah. PH tetap berjuang untuk rakyat Sabah.

Persoalannya, adakah semua MP dari Warisan masih kekal dengan keputusan untuk boikot pengundian hanya kerana mahu tunjuk keegoaan mereka? Rakyat Sabah hari ini mahu melihat wakil rakyat mereka berjuang untuk mereka bukannya untuk melihat wakil rakyat yang mereka pilih bermain politik dendam. Mengapa harus ikut telunjuk Mahathir sehingga sanggup mengabaikan kepentingan Sabah? Apakah setelah Warisan tidak lagi menjadi kerajaan negeri maka terhentilah tanggungjawab mereka terhadap kepentingan Sabah?

PH sentiasa komited dengan agenda rakyat. Kita membenarkan bajet dasar ini tanpa kita membantah keras dengan mengadakan undian belah bahagi adalah kerana ingin melihat sejauh mana kerajaan PN serius di dalam melaksanakan apa yang mereka bentangkan. Apabila ada kepincangan, kita menolaknya di dalam undian di peringkat ini. Kalah menang soal kedua, tetapi kita harus beritahu rakyat bahawa PH bukan bermain politik di dalam perkara besar seperti bajet ini.

Saya harap Warisan akan berani bersuara untuk rakyat. Jika isu rakyat Sabah pun Warisan tidak mampu perjuangkan, biarkan saja kami di dalam PH akan mempertahankannya. Jangan izinkan MITI di bawah Azmin memperkotak-katikkan kepentingan Sabah.

WFAUZDIN NS