PEMAHAMAN TERHADAP HADIS PERLU SAHIH-DR ROZAIMI RAMLE

 

Saya melihat terdapat satu video yang menyebutkan hadis bunuh kepada mereka yang memecahkan kesatuan orang Islam. Saya bimbang hadis ini disalahfahami oleh sebahagian netizen tambahan pula ia dipotong dan disebarkan. Maka saya menulis artikel ini untuk memberikan pemahaman yang betul terhadap hadis ini. Berikut komentar saya:


1.      Lafaz hadis tersebut ialah:


«مَنْ أَتَاكُمْ وَأَمْرُكُمْ جَمِيعٌ عَلَى رَجُلٍ وَاحِدٍ، يُرِيدُ أَنْ يَشُقَّ عَصَاكُمْ، أَوْ يُفَرِّقَ جَمَاعَتَكُمْ، فَاقْتُلُوهُ»


Maksudnya: “Sesiapa yang datang kepada kamu dan urusan kamu bersepakat pada seorang lelaki dan dia ingin memecahkan tongkat kamu (tonggak) atau memecahbelahkan Jemaah kamu maka bunuhlah dia”. (HR Muslim, no. hadis: 1852)


Hadis ini sahih riwayat Imam Muslim.


2.      Walaupun hadis ini sahih, pemahaman terhadap hadis ini juga perlu sahih. Dalil sahih tidak menjamin pemahaman yang sahih. Untuk memahami hadis sahih ini dengan pemahaman yang sahih kita perlu merujuk kalam ulama yang menghimpunkan hadis-hadis lain yang berkaitan dengan hadis ini. Setelah meneliti hadis-hadis yang berkaitan maka kesimpulan bagi maksud sahih bagi hadis ini ialah kebenaran untuk memerangi mereka yang menentang pemimpin tertinggi negara dengan kekerasan. Berikut kalam ulama yang menghuraikan maksud hadis ini:


i.                 Al-Qurtubi berkata:


وقوله: فمن أراد أن يفرق أمر هذه الأمة وهي جميع؛ أي: مجتمعة على إمام واحد


Maksudnya: Kata-katanya: “Sesiapa yang ingin memecahkan urusan umat ini sedangkan bersatu padu” bermaksud urusan itu bersatu pada satu imam (pemimpin tertinggi negara). (al-Qurtubi, al-Mufhim, jil. 4, hal. 62)


ii.                Al-Ityubi berkata:


وقوله: ("مَنْ أَتَاكُمْ، وَأَمْرُكُمْ جَمِيعٌ عَلَى رَجُلٍ وَاحِدٍ)؛ أي: مجتمع على مبايعة رجل للخلافة.


Maksudnya: Kata-katanya (Nabi): “Sesiapa yang datang kepadamu sedangkan urusanmu bersatu padu pada seorang lelaki” bermaksud urusan itu bersatu pada melantik seorang imam untuk khilafah (pemimpin tertinggi negara)”. (al-Bahr al-Muhit al-Thajjaj, jil. 32, hal. 201)


iii.               Ibn Malak memberikan makna yang lebih jelas bagi hadis ini dengan berkata bahawa kebenaran membunuh ini hanya kepada mereka yang memerangi pemimpin tertinggi negara dengan kekerasan. Dia berkata:


من قصد أن يعزل إمامكم الذي اتفقتم على إمامته، وأراد أن يأخذ الإمامة.


Maksudnya: “Sesiapa yang ingin meruntuhkan pemimpin tertinggi (negara) kamu yang kamu bersepakat terhadap kepimpinannya dan dia mahu mengambil alih kepimpinan negara”. (Ibn Malak, Syarh al-Masabih, jil. 4, hal. 252)


3.      Dengan nukilan di atas jelas pada kita bahawa hadis ini Nabi sallallah alaih wasallam tujukan kepada mereka yang mahu melakukan pertumpahan darah dengan menyingkirkan pemimpin tertinggi negara melalui jalan kekerasan. Hadis ini tidak terpakai bagi mereka yang keluar dari parti politik tertentu apatah lagi NGO tertentu. Hadis ini juga tidak terpakai bagi parti politik yang masuk pilihanraya untuk mendapatkan kuasa pemerintahan.


4.      Moga dengan penjelasan ini, netizen tidak bertindak membunuh mereka yang berpecah dan keluar dari parti politik mereka. Hadis ini tidak berkait dengan mereka yang keluar parti. Cukuplah sekadar bergambar dan tunjuk penumbuk untuk menyatakan bantahan. Itu memadai. Jangan lakukan keganasan membunuh kerana negara kita ada undang-undang. Moga kita semua memahami hadis dengan disiplin yang betul.


Dr Rozaimi Ramle



No comments: