Usul kosong jawatan speaker di aturan ke-2 sidang Dewan Rakyat hari ini.



Bekas timbalan speaker Parlimen Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sekiranya usul supaya speaker Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya mendapat sokongan majoriti, aturan mesyuarat lain tidak boleh diteruskan sehingga speaker baru dilantik.

KUALA LUMPUR: Kelancaran persidangan Dewan Rakyat yang dijadual bermula hari ini akan bergantung kepada sokongan ahli Parlimen terhadap usul pengosongan jawatan speaker dewan itu.
Berdasarkan Aturan Mesyuarat dan Usul-usul Dewan Rakyat, usul berkenaan yang akan dibawa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berada di aturan kedua.
Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sekiranya usul supaya speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya itu mendapat sokongan majoriti, sebarang aturan mesyuarat lain tidak boleh diteruskan sehingga speaker baru dilantik.
“Kalau menang (dipersetujui), maksudnya Dewan Rakyat itu kosong, tak ada speaker, mengikut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, bila tak ada speaker, tak boleh teruskan urusan sidang yang lain, kecuali hanya untuk memilih speaker,” katanya.
Selain usul berkenaan, menurut Aturan Mesyuarat, perdana menteri turut akan mengusulkan supaya bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun dipilih menggantikan Mohamad Ariff.
Muhyiddin juga akan mengusulkan supaya timbalan speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming mengosongkan jawatannya, sebelum membawa usul supaya ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said menggantikan Nga.
Sekiranya mendapat undian majoriti ahli Parlimen, Azhar akan menjadi speaker ke-10, manakala Azalina akan mencipta sejarah sebagai wanita pertama dipilih untuk mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Manakala itu, dalam hal mencalonkan nama bagi jawatan speaker Dewan Rakyat, ia boleh diusulkan mana-mana ahli Parlimen, namun perlu dilakukan dalam tempoh tidak kurang 14 hari sebelum dewan bersidang.

Wan Junaidi berkata, cadangan nama “pada masa itu juga” tidak boleh dilakukan mana-mana ahli Parlimen untuk mengisi jawatan speaker mahupun timbalan speaker.
Wan Junaidi yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi berkata, sekiranya terdapat lebih daripada 1 calon, maka undian akan dilakukan secara belah bahagian atau bersurat seperti ditetapkan dalam Peraturan Mesyuarat 4(3).
Berdasarkan Peraturan Mesyuarat (6) (a), jika lebih daripada 2 calon dicadangkan dan tidak ada calon mendapat undi lebih daripada jumlah undi didapati calon lain dalam undi pertama, maka calon yang mendapat undian paling rendah perlu dikeluarkan daripada pilihan.
Undian perlu dijalankan sekali lagi dan dikeluarkan calon yang mendapat undian terendah seterusnya. Ia dijalankan berturut-turut sehingga hanya seorang calon mendapat undi lebih daripada calon atau jumlah undi calon yang tinggal.
Wan Junaidi berkata, ketika kekosongan jawatan speaker, segala urusan di Dewan Rakyat akan dilaksanakan setiausaha Dewan Rakyat, namun beliau boleh memohon seorang lagi timbalan speaker yang namanya tidak diusul untuk dikosongkan iaitu Mohd Rashid Hasnon untuk membantu.

No comments: