BN tetap alergi daftar PN?
Situasi politik Perikatan Nasional semakin sukar apabila komponen terbesar, BN tetap alergi untuk mendaftarkan gabungan itu sebagai front tunggal menghadapi PRU 15.
Mesyuarat ahli parlimen BN hari ini hanya komited untuk mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih belum mencapai kata sepakat dalam mendaftarkan PN.
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menjelaskan bahawa terdapat ramai pihak yang masih tidak bersetuju ketika isu tersebut dibawa dalam mesyuarat hari ini.
“Masih dibincang (isu daftar PN) lagi tetapi nampaknya masih ramai tak bersetuju kerana simbol BN terkenal dan sudah biasa dengan BN,” kata Anggota Parlimen Gua Musang itu dipetik.
Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein turut mengesahkan bahawa mesyuarat itu ada menyentuh berkenan isu pendaftaran PN.
Bagaimanapun, Hishammuddin yang juga merupakan menteri luar negeri-berkata perbincangan berkenaan perkara itu tidak terlalu mendalam lagi dan belum ada keputusan.
“Itu disentuh dan dimaklumkan oleh presiden (Ahmad Zahid Hamidi) tapi belum ada kata putus,” katanya lagi.
Bagaimanapun, semua ahli parlimen BN bersetuju untuk menyatakan sokongan terhadap usul Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di persidangan Dewan Rakyat esok bagi menggantikan Speaker dan Timbalan Speaker yang dipilih PN.
Undian itu penting kerana dilihat sebagai penanda aras sokongan terhadap Muhyiddin di Dewan Rakyat.
Kerajaan Pakatan Harapan runtuh Februari lalu selepas Muhyiddin mengeluarkan Bersatu dari gabungan itu dan membentuk kerajaan baru bersama bekas wakil rakyat PKR, BN, PAS, GPS, PBS dan STAR.
Muhyiddin angkat sumpah sebagai perdana menteri baru selepas bekas penyandang Dr Mahathir Mohamad enggan memimpin kerajaan PN kerana bertegas tidak mahu bekerjasama dengan Umno.
Muhyiddin kini berusaha untuk mendaftarkan PN supaya gabungan parti itu dapat bertanding dalam satu platform pada pilihan raya umum (PRU) kelak.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin Umno percaya bahawa gabungan partinya bersama PAS sudah cukup kuat untuk memenangi PRU tanpa perlu membuat apa-apa gabungan dengan Bersatu.