Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) yang berlangsung pada pagi ini telah menegaskan iltizam dan komitmen AMANAH untuk mempertahankan kesatuan Pakatan Harapan sebagai satu-satunya wadah yang memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan melaksanakan perubahan dalam negara.
AMANAH menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab Pakatan Harapan bersama gabungan Tun Dr Mahathir Mohamad dan pasukannya serta WARISAN untuk terus berusaha mengambil balik mandat dan hak rakyat yang telah diberikan kepada Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum yang lalu. Ini adalah untuk meneruskan usaha mentadbir negara yang menjunjung keutuhan integriti, menjamin dan membentuk ekonomi yang mapan, menegakkan kerajaan berintegriti dan melawan rasuah serta mewujudkan keharmonian antara kaum dan agama.
AMANAH amat mengambil berat kegelisahan dan kerisauan rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah ditubuhkan tanpa mandat rakyat dan membelakangkan amalan urus tadbir baik seperti mengabaikan fungsi dan peranan Parlimen sebagai institusi semak dan imbang negara terutamanya dalam perbelanjaan dana awam. Lebih membimbangkan, pembebasan beberapa individu yang terkait dengan tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berskala besar baru-baru ini yang menimbulkan tanggapan campur tangan politik dalam institusi kehakiman. Ini juga menimbulkan tanggapan akan berlaku pembebasan individu-individu lain yang sedang didakwa dan juga penularan amalan-amalan rasuah.
Begitu juga amalan memperalatkan kedudukan dan jawatan sebagai habuan untuk meraih sokongan ahli-ahli Parlimen akan menyebabkan kepentingan institusi-institusi negara terjejas. Salah guna institusi penguatkuasaan dan perundangan untuk mendakwa dan memberikan tekanan terhadap pemimpin pembangkang juga dilihat menjadi amalan baharu kerajaan.
Dengan menjangkakan kemungkinan berlakunya pilihan raya mengejut (snap election) dalam tempoh terdekat, AMANAH menggesa semua parti komponen Pakatan Harapan untuk mempersiapkan jentera pilihan raya masing-masing pada kadar segera.
MOHAMAD BIN SABU
Presiden
Parti Amanah Negara (AMANAH)