LIHAT SEJARAH, LUPAKANLAH TUN MAHATHIR!!



Sebelum ini pada 17 Jun lalu, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke menggesa Anwar Ibrahim dan PKR memberi jawapan “ya” atau “tidak” berhubung pencalonan Tun Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri PH Plus.

Katanya, pencalonan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri itu turut disusuli dengan kedudukan Anwar sendiri sebagai Timbalan Perdana Menteri yang seterusnya akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas enam bulan Pengerusi Bersatu yang terpecat itu menyandang jawatan tersebut.

Berikutan itu, PKR telah mengadakan mesyuarat MPP pada semalam, 19 Jun untuk membincangkan perkara itu dan hasilnya menolak pencalonan Tun Mahathir serta kekal dengan konsensus PH sebelum ini yang menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri.

Maknanya, keputusan mesyuarat PKR semalam adalah jawapan kepada gesaan yang dibuat oleh Anthony Loke pada 17 Jun lalu itu.

Malangnya, hanya beberapa jam kemudian, Anthony Loke dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad telah mengeluarkan kenyataan media bersama yang maksudnya boleh difahami sebagai menolak pendirian PKR itu.

Kata mereka, opsyen meletakkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri telah gagal menjadi kenyataan berikutan tidak cukup nombor yang diperlukan dengan asas utamanya ialah Warisan, sekutu dalam PH Plus, tidak sedia memberi sokongan.

Sehubungan itu, kedua-dua mereka mahu PKR kembali kepada opsyen kedua iaitu mencalonkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Tindakan Anthony Loke dan Khalid Samad mengeluarkan kenyataan media ini langsung tidak kena kerana mereka berada secara rasmi dalam PH, tetapi nampaknya lebih berusaha menonjolkan PH Plus yang ada Tun Mahathir dan Shafie Apdal didalamnya.

Malah, hanya kerana Shafie menolak Anwar, mereka sebaliknya lebih mengutamakan pandangan tersebut dengan menuntut PKR menerima Tun Mahathir yang disokong oleh Warisan.

Adakah Warisan yang hanya ada 9 kerusi lebih penting daripada PKR yang ada 38 kerusi dan PH yang ada 91 kerusi?

Jika Anwar ditolak oleh Warisan yang hanya ada 9 kerusi, bukankah kedudulan pencalonan Tun Mahathir jauh lebih buruk kerana ditolak oleh 38 kerusi PKR?

Dalam hal ini, Anthony Loke dan Khalid Samad sepatutnya berusaha memujuk Warisan menerima calon PH dan bukannya menggesa PKR tunduk kepada Warisan dan menerima calon PH Plus.

Lebih daripada itu, tindakan mereka yang tetap berusaha agar Anwar dan PKR menerima Tun Mahathir menunjukkan mereka tidak mahu belajar daripada sejarah tentang tingkah laku dan putar belit bekas Perdana Menteri itu selama ini.

Tun Mahathir pada hakikatnya tidak pernah ikhlas dan setuju terhadap Anwar dan sentiasa berusaha menghalangnya untuk menjadi Perdana Menteri.

Setelah berjaya melengah-lengahkan janji peralihan kuasa dalam tempoh dua tahun sebagaimana diikrarkannya sendiri sebelum ini, Tun Mahathir juga cuba melupuskan janji serah kuasa kepada Anwar dengan meletakkan jawatan dan kemudian mahu menjadi Perdana Menteri semula melalui idea kerajaan perpaduan tanpa parti yang cuba diilhamkannya.

Melalui idea tersebut, beliau telah menolak saranan Yang Dipertuan Agong agar tidak meletakkan jawatan dan terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Idea Tun Mahathir ialah melalui kerajaan perpaduan tanpa parti itu, beliau bukan saja akan berkuasa lebih luas, bahkan tidak terikat lagi dengan sebarang janji peralihan kuasa kepada Anwar.

Makanya, dengan sokongan yang diperolehi oleh Bersatu, UMNO, Pas, GPS dan Warisan, selain keyakinannya bahawa DAP, Amanah dan Geng Azmin dalam PKR juga akan menyokongnya, beliau boleh kekal sebagai Perdana Menteri sehingga akhir hayatnya.

Bagaimanapun, idea beliau itu tidak menjadi kenyataan kerana dibantah oleh UMNO serta Pas dan Muhyiddin kemudian mengambil kesempatan memintasnya untuk menjadi Perdana Menteri.

Selebihnya daripada segala peristiwa itu, termasuk kehadirannya dalam Kongres Maruah Melayu adalah suatu sejarah pahit selama 22 bulan bagi PH yang seharusnya memberi pengaran kepada kita semua.

Yang penting harus disedari, idea kerajaan perpaduan tanpa parti digerakkan oleh Tun Mahathir, bukan saja untuk memungkiri janji, membunuh karier politik Anwar dan menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri, tetapi juga untuk menghancurkan PH.

Kenapakah masih ada kalangan dalam PH masih mahu mempercayai Tun Mahathir lagi?

Kalau janji dua tahun pun dimungkiri dan dilengah-lengahkan dengan alasan seperti APEC, sehingga ekonomi pulih dan macam-macam lagi, jangankan logik akal, logik kepala lutut juga tidak boleh menerima janji enam bulan Tun Mahathir mahu menduduki kerusi Perdana Menteri buat kali ketiga ini.

Lupakanlan Tun Mahathir mulai sekarang seperti mana kita patut melupakan kekasih yang curang, dalam partinya sendiri pun beliau sudah terbuang.

Melorongkannya semula mengetuai kerajaan bererti mengundang kemungkinan janji dikhianati sekali lagi, seterusnya memungkinkan PH dalam keadaan bermasalah di sepanjang laluan.

Tanpa Tun Mahathir dan PH komited dengan Anwar sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri, yakinlah gabungan itu akan lebih aman dan mampu bergerak ke hadapan dengan cemerlang, kalau pun tidak mengambil semula kerajaan, harapan tetap ada dalam PRU15 akan datang. (Shahbudindotcom 20/06/2020)

No comments: