PKR calonkan Anwar PM ke 9, siap sedia hadapi PRU mengejut
Mesyuarat khas Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan anggota parlimen PKR di atas talian sebentar tadi sebulat suara menolak Tun Mahathir Mohamad dicalonkan sekali lagi sebagai Perdana Menteri.
PKR memutuskan untuk kekal dengan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM ke 9.
“Parti memutuskan untuk tidak menyokong cadangan mencalonkan Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri, dan kekal dengan konsensus PH mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh MPP.
Bagaimanapun, PKR terbuka untuk berbincang dengan semua pihak termasuk Dr Mahathir dalam usaha menyelamatkan Malaysia dan mengembalikan mandat rakyat ke tempatnya.
MPP yang bermesyuarat tidak dapat menerima kepimpinan yang tidak melaksanakan reformasi tulen dan ditolak rakyat serta kalah dalam Pilihan Raya Kecil sebagaimana yang dihadapi PH sepanjang 2019.
“Keputusan pilihan raya-pilihan raya kecil dan pandangan rakyat termasuk masyarakat Melayu yang kritis ketika PH mentadbir mesti diteliti, difahami, dan dijadikan iktibar untuk perbaiki keadaan. Keinsafan ini memerlukan bukan sahaja muhasabah tetapi juga ikhtiar reformasi dalaman yang menyeluruh, untuk sekali lagi memenangi hati rakyat dengan mengutamakan nasib mereka,” tambah kenyataan berkenaan.
Bagaimanapun, PKR memberi amaran kemelut politik yang berpanjangan mungkin akan berakhir dengan Pilihan Raya Umum mengejut. Oleh itu jentera pilihan raya perlu dipersiapkan secepat mungkin.
“Pada masa yang sama PKR akan terus menumpukan tenaga dan bersiap siaga menghadapi pilihan raya umum mengejut yang mungkin dipanggil pada bila-bila masa,” kata kenyataan itu lagi.