Pakej ransangan ekonomi PN syok sendiri, rakyat menganggur berlambak
Pakej ransangan ekonomi kerajaan Perikatan Nasional (PN) nampaknya indah khabar dari rupa. Dikatakan rakyat Malaysia hidup senang lenang dengan pakej itu berbanding negara lain yang rakyatnya tidak dibantu.
Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim, tempoh ini sangat sukar malah pusat khidmat DAP turut didatangi ramai penduduk minta bantuan kewangan. Yang perlu dibantu ialah ayah yang sudah hilang kerja dan isterinya suri rumah dengan 2 atau 3 anak yang masih bersekolah.
Sewa rumah dan bil bulanan mesti dibayar dan kadangkala mereka juga mesti menjaga wargamas yang uzur di rumah.
Ng menegaskan ramai keluarga sedang mengalami tekanan kewangan seperti ini dan mereka juga adalah mangsa wabak Covid-19 walaupun mereka tidak tidur di katil hospital. Justeru itu, adalah baik jika kerajaan boleh membantu dengan memberi sejumlah wang di antara RM500 hingga RM1,000 setiap bulan bergantung kepada keperluan untuk satu tempoh yang ditetapkan. Bantuan yang sama juga boleh diberikan kepada individu atau bujang yang sedang menyara hidup wargamas di rumah.
“Harga barang keperluan juga sudah meningkat tinggi. Kerajaan PN mesti memandang serius perkara ini dan bertindak serta-merta untuk menurunkan harga agar beban kewangan golongan B40 dapat diringankan sedikit.
“Tindakan harus diambil sekarang dan semua percaturan politik dihentikan untuk memberi tumpuan penuh kepada nasib rakyat yang sedang menghadapi masalah kewangan,” kata Ng.
Hakikatnya, hampir sejuta rakyat Malaysia telah menjadi penganggur dan sukar mencari peluang pekerjaan baharu. Malah pekerjaan e-hailing pun sukar berikutan terlalu ramai yang menceburinya.
“Bagi orang yang menganggur, situasi semakin susah sebab tiada peluang pekerjaan sekarang,” kata James Lee, 40 tahun, seorang pemandu e-hailing yang berkata ramai rakyat golongan B-40 sudah hilang mata pencarian.
“Kini terdapat terlalu ramai pemandu e-hailing dan kita dalam bidang ini sekarang pun susah cari makan. Bila seseorang itu hilang pekerjaan, boleh dikatakan dia akan jadi pemandu e-hailing kerana tiada lagi jawatan kosong di pejabat, kilang, hotel, ladang ataupun kedai,” ujar James yang berpendapat Kerajaan Perikatan Nasional (PN) lambat bertindak untuk membantu rakyat yang menganggur.