DON’T OVERSTAY YOUR WELCOME-MASIH INGATKAH MAHATHIR AKAN UNGKAPAN INI?



Don’t overstay your welcome – demikian kata-kata yang pernah diucapkan oleh Tun Mahathir Mohamad ketika kehangatan musim pertandingan antara Anwar Ibrahim dengan Tun Ghafar Baba (kini arwah) bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1993 dahulu.
Tun Mahathir melafazkan kata-kata tersebut di Kuala Terengganu yang dipercayai ditujukan kepada Tun Ghafar yang ketika itu juga adalah Timbalan Perdana Menteri.
Berikutan kata-kata tersebut, pencalonan untuk Anwar mencanak-canak naiknya, sementara pencalonan untuk Tun Ghafar terus ketinggalan jauh di belakang.
Walaupun difahami oleh semua orang bahawa ungkapan pedih itu ditujukan kepada Tun Ghafar, tetapi Tun Mahathir tidak pernah mengia atau menafikannya sehingga kata-kata tersebut didendangkan dengan meluas sebagai gambaran Tun Ghafar tidak diperlukan lagi di dalam parti dan kerajaan.
Sebagai seorang yang berjiwa besar, walaupun tidak bersekolah tinggi, Tun Ghafar akhirnya mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO dan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Tujuan Tun Ghafar berbuat demikian adalah untuk memudahkan Tun Mahathir mentadbir parti dan kerajaan dengan bebas berdasarkan kehendaknya selepas itu.
Susulan itu, Anwar telah diumumkan menang tanpa bertanding sebagai Timbalan Presiden UMNO dan seterusnya dilantik Timbalan Perdana Menteri.
Bagi kebanyakan orang yang mengikuti perjalanan politik dan sumbangan Tun Ghafar, terutama dalam menstabilkan parti berikutan perletakan jawatan Tun Musa Hitam pada 1986, pertandingan 1987 serta berbagai krisis lainnya dalam negara, tindakan Tun Mahathir mengucapkan kata-kata demikian dilihat tidak wajar sama sekali.
Beliau seolah-olah tidak menghargai, malah tidak mengenang sama sekali jasa serta sumbangan Tun Ghafar terhadapnya.
Hari ini setelah 27 tahun berlalu, apa yang diucapkan Tun Mahathir kepada Tun Ghafar itu sebiji terkena kepada dirinya.
Di dalam PH, beliau jelas tidak diperlukan lagi, tetapi tetap bersungguh-sungguh mahu jadi Perdana Menteri lagi buat kali ketiga.
Anwar yang merupakan Pengerusi PH dan Presiden PKR telah secara mutlak menolak hasrat Tun Mahathir yang mencadangkan dirinya sendiri sebagai calon Perdana Menteri bagi gabungan itu.
Di dalam Bersatu pula, beliau telah terbuang dan terlucut kedudukannya sebagai Pengerusi parti tersebut.
Dalam kelompok rakyat pelbagai kaum di seluruh negara, rata-rata telah menolak Tun Mahathir untuk kembali lagi sebagai Perdana Menteri, bukan saja kerana beliau telah dua kali menduduki jawatan tersebut, malah disebabkan usia tunya sudah mencecah 95 tahun ketika ini.
Manakala budak-budak sekolah, apabila mereka terdengar perbualan yang menyebut nama Tun Mahathir, spontan ada yang bertanya, “bila lagi Atuk ni mahu berhenti?”
Kepada Tun Mahathir – don’t overstay your welcome – isyarat patutnya beliau berundur sudah sangat jelas sekarang ini, bahkan lebih jelas daripada apa yang dialami oleh Tun Ghafar pada 1993 dahulu.
Kalau Tun Ghafar boleh berjiwa besar untuk berundur, apakah Tun Mahathir lebih memilih untuk “berjiwa tikus”, walaupun berpendidikan lebih tinggi daripada arwah? (Shahbudindotcom 20/06/2020)

No comments: