ANTARA MENJATUHKAN MUHYIDDIN DAN MEMILIH CALON PM



Ramai yang keliru antara menjatuhkan Muhyiddin dengan memilih calon Perdana Menteri.

Menyokong usaha menjatuhkan Muhyiddin, termasuk melalui apa yang dilakukan oleh Tun Mahathir adalah semata-mata untuk mengembalikan semula mandat rakyat kepada PH.

Ini kerana yang dipilih dalam PRU14 lalu adalah PH.

Tetapi, menyokong usaha Tun Mahathir menjatuhkan Muhyiddin tidak bermakna setuju beliau dijadikan PM semula.

Oleh kerana kuasa yang hendak dikembalikan adalah kepada PH, maka jika ia berjaya dilakukan, Perdana Menteri mesti datang daripada PH.

Tun Mahathir bukan lagi sebahagian daripada PH. Partinya, Bersatu adalah bersama PN dan beliau sendiri sudah terpecat daripada Bersatu.

Selain bukan lagi Pengerusi Bersatu, Tun Mahathir juga ketika ini dianggap sebagai individu tidak berparti.

Dengan yang demikian, tidak relevan untuk menjadikan beliau sebagai calon Perdana Menteri, baik selama enam bulan  atau enam hari.

Sama ada melalui cara berfikir di dalam kotak, di luar kotak atau tanpa kotak sekalipun, tidak munasabah untuk mencalonkan seseorang yang tidak berparti dan berada di luar PH sebagai bakal Perdana Menteri.

Calon Perdana Menteri mesti datang daripada PH sebagai entiti yang sah, manakala mereka yang berada di luar PH atau hanya sekutu kepada PH sepatutnya hanya hadir untuk menyokong calon yang ditentukan oleh PH.

Umpama kata, tetamu yang datang ke rumah kita tidak sesuai sama sekali untuk minta tidur di bilik tidur utama.

Menubuhkan kerajaan tanpa parti pun semua tak setuju, apa lagi memilih Perdana Menteri daripada individu tidak mempunyai parti.

Ada yang susah nak faham lagi?

Shahbudin.com.net


No comments: