KERAJAAN MELAYU ISLAM DAN KETUANAN MELAYU



*Posting panjang. Pohon baca dengan minda yang lapang dan hati terbuka*
1. Kerajaan Perikatan Nasional merupakan Kerajaan Melayu Islam. Itulah moto Kerajaan PN ketika hendak menukar Kerajaan. Bermula dengan penubuhan Muafakat Nasional (2018), yang dianggotai oleh 2 parti Melayu Islam terbesar iaitu UMNO dan PAS. Seterusnya membawa kepada penubuhan Perikatan Nasional (2020) dengan kemasukan parti PPBM di bawah blok TSMY. Ramai bersyukur sekarang Malaysia dipimpin oleh Kerajaan Melayu Islam.
2. Desakan Kerajaan Melayu Islam ni sebenarnya bermula sejak Barisan Nasional kalah piliharaya. Sejurus selepas tumbang, DS Zahid Hamidi mencadangkan penubuhan Kerajaan Perpaduan antara PH, UMNO dan PAS. Sampai sanggup boikot PRU Port Dickson 2018 kononnya untuk bagi laluan kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan (boleh rujuk keratan akhbar BH). Beliau juga turut melobi Tun M untuk tubuhkan Kerajaan campuran dengan parti2 Kerajaan sama ada PPBM atau PKR. Namun, walaupun jenuh melobi untuk wujudkan Kerajaan campuran, ianya ditolak oleh pemimpin PH termasuk TSMY.
3. Selepas idea penubuhan Kerajaan Perpaduan Melayu ditolak, maka bermulalah episod propaganda politik perkauman paling besar dalam sejarah politik negara. Semuanya dipolitikkan dari lensa kaum dan agama. Naratif yang digunakan, Kerajaan PH tidak cukup Melayu dan tidak cukup Islam. Apa saja isu yang melibatkan kaum Cina atau India disensasikan dan disalahkan kerana parti DAP dalam Kerajaan. Isu pemandu mabuk, LTTE, abu mayat Chin Peng, LBGT semuanya dimanipulasi kerana kononnya DAP yang paling berkuasa dalam Kerajaan. Habislah Malaysia, DAP berkuasa, itu naratif kuat yang diguna.


4. Hakikatnya, sejak DAP terlibat dalam Kerajaan Persekutuan, kekuatan politik DAP dengan kaum Cina merudum. DAP terpaksa mengikut acuan Kerajaan Tun M yang kuat sentimen Melayu nya. Contoh paling signifikan ialah isu melibatkan pengiktirafan UEC. Masa jadi pembangkang DAP la yang kuat bersorak hendakkan UEC diitiraf. Bila masuk Kerajaan, tak boleh dilaksanakan. Tun M keluar kenyataan pengiktirafan UEC kena mengambil kira sentimen orang Melayu. Sampai ke sudah Tun M tak terima.
5. Maka DAP pun ter-ceyduk. Termasuk Timbalan Menteri Pendidikan DAP yang gung-ho. Habis dilaukkan oleh MCA kerana mengikut sangat cakap Tun Mahathir. Disebabkan isu ini MCA marahkan DAP sampai tanya “adakah kalian masih Cina?”
Bukan saja Kerajaan PH tidak mahu mengiktiraf UEC, kemasukan kursus perguruan PISMP di IPTA juga tidak lagi menerima sijil UEC. Sekali lagi DAP dilaukkan. Habis diratib oleh MCA kegagalan DAP. MCA cakap DAP cakap tak serupa bikin. Kata MCA lagi, DAP tidak lagi meneruskan legasi MCA dalam memperjuangkan hak kaum Cina memasuki perkhidmatan awam melalui sijil UEC. Yang merupakan langkah pertama untuk memperjuangkan pengiktirafan UEC secara menyeluruh. DAP failed! Tup-tup tahun 2020, saranan MCA dijawab. Akhirnya Kerajaan di bawah PN telah iktiraf UEC untuk kemasukan kursus perguruan IPSMP. Ia diumumkan sendiri oleh Kementerian Pendidikan pada bulan Mac 2020.
6. Jadi tuan puan nampak di sini, ratiban DAP berkuasa tu tang mana? Iktiraf Sijil UEC pun DAP tak boleh nak buat masa dalam Kerajaan. Siap buat langkah ke belakang. Undo pula apa yang MCA buat untuk PISMP. Makanya pandangan saya, DAP masuk Kerajaan baru dia tahu langit tinggi rendah. Bukan semua yang diratib dulu boleh dapat dengan senang. Makanya macam saya cakap awal tadi, ketika bersama Kerajaan PH kekuatan politik DAP dengan kaum Cina sangat terjejas. Hingga orang Cina buat undi protes dan menangkan MCA di PRK Tanjung Piai. Dapatlah 2 butir Ahli Parlimen MCA di Dewan Rakyat.
7. Dalam konteks politik kaum Cina, saya tabik MCA. Meraka paham betul sentimen on the ground. Bila jadi pembangkang mereka bersetongkol dengan Dong Zhong untuk menekan Kerajaan dan DAP. Contohnya dalam isu UEC. Sampai keluar kenyataan bersama (boleh rujuk keratan akhbar NST). Bila dengan Kerajaan, awal lagi mereka menyokong Dong Zhong untuk memasukkan pengiktirafan UEC dalam manifesto BN PRU14. Dan mereka berjaya!
8. Yang heran, pemimpin UMNO dan PAS, bila DAP bawak isu pengiktirafan UEC, habis diratib isu perkauman. Kononnya kepentingan Melayu terjejas. Namun heran ya. Masa MCA dok tekan isu UEC sampai masuk manifesto BN PRU14, takde sebutir pun pemimpin UMNO mengkritik masa tu. Bila Kerajaan PN iktiraf juga PISMP-UEC tahun 2020, senyap sunyi mereka. Ada ke yang berani menegur dan kawal MCA macam yang Tun M buat kepada DAP? Mana ada! Mulut terkunci, jiwa dikawal oleh MCA. Naratif perkauman UEC ini hanya untuk laba politik UMNO dan PAS untuk menipu orang Melayu, kononnya mereka lah yang boleh menjaga kepentingan Melayu dan Islam.Tetapi satu persatu ditunjukkan Allah. Mereka hanya sandiwara, cakap tak serupa bikin jua.


9. Tuan Puan tengok sekarang naratif Kerajaan Melayu Islam ni dah sedikit tenggelam. PM8 bila naik jadi PM, dalam perutusan beliau dah banyak selit cakap omputih ditujukan khas untuk yang bukan Melayu. Parti PAS dah start bunyi acah2 parti holistik semua kaum, dan mula backup MCA. Mula dengan isu kelapa sawit dengan India, PAS menyokong MCA untuk menetepikan isu kepentingan orang Islam di India demi hubungan diplomatik dengan Kerajaan India. Sama juga dengan isu pemandu arak. Pendirian PAS dah sama dengan DAP dalam isu pengharaman arak. Pertahankan hak kaum minoriti. Lain betul bunyi sebelum jadi Kerajaan.
10. Yang Presiden MCA pun dah lantang bersuara Kerajaan sekarang bukan Kerajaan Melayu Islam. Seperti biasa, bila MCA cakap begini, orang UMNO dan PAS menikus. Tiada yang bersuara. Merelakan apa yang MCA buat? Tuan Puan pikir kenapa ya?
11. Pandangan saya, ratiban Kerajaan Melayu Islam ini hanya untuk merampas Kerajaan. Dulu Kerajaan BN tidak pernah menggunakan slogan ini. Sampai habis berbilion untuk naikkan kempen 1Malaysia. Jarang dengar bunyi PM ke-6 nak menyemarakkan kepentingan hanya satu kaum dan agama. Bila BN tumbang, seluruh tumpuan BN dan MN adalah untuk menarik undi Melayu dan Islam. Isu-isu yang dibangkitkan juga menjurus kepada itu. Kenapa?
12. Mari kita lihat komposisi kaum dalam populasi Malaysia.
52% Melayu
23% Cina
17% Bumiputera Sabah dan Sarawak
7% India
1% Lain-lain
Data dari DOSM tahun 2019 menyatakan kaum Bumiputera merangkumi 69% populasi Malaysia. Ya, nampak banyak tuan puan. Tapi dalam peratusan tersebut, orang Melayu Islam hanya 52% daripada total populasi. Ini bermakna 48% lagi penduduk Malaysia bukan Melayu Islam. Peratusan ini menunjukkan Melayu Islam di Malaysia hanya ada majoriti sikit iaitu hanya 2%.

13. Makanya, mana-mana parti politik yang bijak, tahu mereka tidak boleh terus menerus memperjuangkan slogan Melayu Islam. Bila dah dapat Kerajaan (terutamanya dengan cara tebuk atap), untuk kekal berkuasa mereka perlukan undi bukan Melayu. Kena juga ambil hati mereka. Itu sebab saya cakap tadi, bila dah jadi Kerajaan nada UMNO dan PAS dah berubah. Tiada lagi ratiban isu kaum dan agama sebagaimana dulu.
14. Kerajaan PN ini tahu, untuk dapat undi bukan Melayu iaitu Cina dan India sedikit susah. Kerana nescaya mereka mahu kesamarataan kaum. Tambah pula, mereka tidak berkenan dan menolak Kerajaan tanpa governans dan penuh rasuah iaitu Kerajaan BN terdahulu. Ketika PRU14 undi mereka banyak kepada DAP dan PKR. Sekiranya kerajaan PN ini dipenuhi lagi dengan golongan pemimpin yang sama dengan Kerajaan BN dahulu dan punya tindak tanduk yang sama ketika sebelum PRU14, saya percaya agak sukar untuk PN mendapat majoriti undi kaum Cina dan India.
15. Makanya yang tinggal ialah kaum Bumiputera Sabah & Sarawak. Mereka lah yang jadi “lynchpin” atau “kingmaker” kepada penubuhan mana2 Kerajaan. Kena ingat slogan kepentingan Melayu Islam tak boleh diterima di sana ya. Mereka lebih matang daripada rakan-rakan di Malaya dan menolak politik perkauman sejak sekian lama. Tambah kalau yang didendangkan Malaysia ini Tanah Melayu. Lagi diaorg menyampah. Dei… tanah Sabah & Sarawak adalah 60% daripada seluruh kawasan tanah Malaysia. Mana datangnya Malaysia jadi tanah Melayu kalau begitu? Pandangan saya, slogan “tanah Melayu” dan “ketuanan Melayu” ini tidak didokong dengan fakta sebenar dan tidak melambangkan roh atau spirit penubuhan Malaysia dalam Perjanjian Malaysia 1963.
16. Nanti ada yang berbunyi, saya ni hilang Melayunya sebab tidak mendokong konsep ketuanan Melayu. Jujur saya cakap, ia hanya sandiwara dan propaganda parti politik untuk berkuasa atau terus berkuasa. Tiada pun dalam Perlembagaan. Tetapi, sebagai seorang Melayu Islam pastinya saya nak melihat kaum dan agama saya kuat di tanah air sendiri. Tidak ditindas oleh kaum lain. Tidak dibuang dan disisih. Pada saya, ketuanan Melayu itu boleh hidup kalau kena cara gayanya. Bukan hanya retorik dan slogan atas kertas untuk parti politik meraih kuasa dan untuk menindas kaum lain.

17. Bagaimana caranya? Bila mana kita wujudkan Kerajaan yang dipimpin oleh Melayu Islam yang bersih dari skandal rasuah dan salah guna kuasa, dan yang tidak terjejas dengan isu moral pemimpin2nya. Yang efisyen dalam mentadbir dan telus dalam pentadiran. Tidak kurang penting, Kerajaan yang menitik beratkan kepentingan kaum lain juga tetapi tidak sampai lah melanggar apa yang termaktub dalam Perlembagaan.
18. Kalau kita mahu memimpin. Ia perlu datang dengan sokongan dan hormat. Respect is earned and should not be demanded. Makanya, kalau mahu slogan kepentingan dan “ketuanan” Melayu Islam terus berkemundang dan hidup kembang mekar, Kerajaan yang mahu memerintah kena ubah perangai. Kena berusaha untuk lakukan perkara dengan betul, bersih dan telus. Baru lah ramai akan dokong. Termasuk yang bukan Melayu. Saya kira ramai antara bukan Melayu pun tak kisah siapapun yang memerintah asalkan mendapat kerajaan yang efisyen, bersih dan tidak menindas.
19. Kena ingat sejak tahun 70an Kerajaan BN perolehi undi 2/3 majoriti rakyat Malaysia. BN bukan Kerajaan Melayu Islam ya. Ia Kerajaan campuran semua kaum tetapi dipimpin oleh seorang Melayu Islam. Tetapi ketika PRU12 hilang majoriti 2/3 dan ia tumbang tahun 2018. Tuan puan boleh tahu kenapa. Ia kerana Kerajaan pimpinan BN terpincang dek kerana isu skandal rasuah dan salah guna kuasa. Itu yang utama.
20. Kena ingat, we owe this nation to our children. Kerajaan yang ada kena memerintah mengambil kira juga kepentingan anak2 kita untuk masa depan. Jangan sebab sengketa agama dan kaum, negara terjejas dan tergadai. Pada saya kita sayang kaum dan agama kita tapi dalam konteks memilih Kerajaan, kepentingan negara tetap jadi nombor satu. Negara lah tempat anak kita menaruh harapan untuk terus hidup maju. Makanya, kalau ditanya antara dua (i) Kerajaan Melayu Islam yang penuh rasuah dan menindas dan (ii) Kerajaan Bukan Melayu Islam yang bersih, efisyen dan yang mendokong Perlembagaan, saya akan memilih opsyen 2. Kerana saya mengundi untuk masa depan negara dan anak2.
21. Maka kita tengok lah, slogan PAS dan UMNO dalam menegakkan kepentingan Melayu Islam di Malaysia boleh pergi sampai mana? Yang pasti sekarang dah tenggelam bunyinya. Selagi mereka mahu memerintah lama, mereka tahu perlu bertukar gaya. Kuasa undi bukan saja berpunca daripada Melayu Islam. 42% populasi dan undi datang dari kaum lain jua.
22. Kena ingat Politik itu untuk KUASA. Natijah perjuangan dan slogan politik ialah cara mendapatkan kuasa. A means to an end. Bila dah dapat pegang kuasa masih kuatkah lagi slogan untuk agama dan bangsa? Kita tengokkan saja…
Wallahu a’lam.
Salam hormat,
Liyana Marzuki


No comments: