HANYA 11 YANG KELUAR , BUKAN 8,000 AHLI.

Bekas pemimpin PKR Sabah keluar parti, dakwa 8,000 ahli akan ikut serta

Bekas pengarah tugas-tugas khas PKR Sabah Nani Sakam (tengah) bercakap kepada pemberita di Putatan hari ini.
PUTATAN: Sekumpulan 11 ahli PKR Sabah yang pernah memegang jawatan di peringkat negeri dan bahagian parti itu mengisytiharkan keluar parti hari ini.
Kumpulan yang diketuai Nani Sakam, yang juga bekas pengarah tugas-tugas khas PKR Sabah, turut mendakwa 8,000 penyokong masing-masing akan menyertai mereka keluar parti itu
Dalam sidang media ketika mengisytiharkan perkara itu, Nani bersama-sama bekas pemimpin terdiri daripada timbalan ketua bahagian, naib ketua bahagian dan beberapa ahli jawatankuasa bahagian parti itu berkata, mereka mengambil keputusan meninggalkan PKR kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan PKR Sabah yang diketuai Christina Liew.
Menurutnya kumpulan berkenaan belum menentukan hala tuju perjuangan politik selepas ini, tetapi menyokong kerajaan sedia ada.
Pemangku pengarah jentera pilihan raya PKR Sabah Karim Ghani sebelum ini dilaporkan berkata, beribu-ribu ahli parti dan pemimpin akar umbi PKR akan keluar parti bersama-sama mereka dan menyokong pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Dalam perkembangan berkaitan, ketua biro disiplin PKR Sabah Sazalye Donol berkata, parti itu tidak mengambil peduli berhubung kenyataan Karim dengan berkata, PKR Sabah semakin berkembang dengan hampir 170,000 ahli sehingga kini.
Keahlian Nani dan beberapa pemimpin lain kini digantung kerana menggugat kepimpinan PKR negeri susulan sidang media yang diadakan tahun lepas.
Dalam pada itu, dalam kenyataan hari ini, ketua penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin menolak dakwaan kumpulan itu dengan berkata, tindakan Nani mengumumkan pengundurannya itu melucukan kerana beliau keluar parti lama sebelum ini.
Razeef berkata, Karim dan Nani keluar PKR tahun lepas.
“Mereka juga pernah mendakwa 75% ahli PKR Sabah akan meninggalkan parti, tetapi kenyataannya hanya 11 berbuat demikian hari ini,” katanya.

No comments: