Mso
Kegagalan PH untuk mencapai kata sepakat siapa yang berhak untuk jadi PM sekiranya gabungan itu berjaya merampas balik kerajaanya dan menggulingkan Muhyiddin Yassin ditambah pula penolakan injuksi ad-interim dibuat Mahathir bersama empat yang lain bagi mengekalkan status mereka dalam Bersatu menjadikan semacam duka bertingkat menimpa Mahathir.
Untuk pusingan pertama Mahathir serta yang lain kalah dalam melawan hegemoni Muhyiddin Yassin. Walaupun mahkamah tidak menutup terus harapan Mahathir dan yang lain kerana perbicaraan saman mereka ke atas Muhyiddin dan Pejabat Pertubuhan belum dimulakan lagi, tetapi penolakan permohonan injuksi sebelah pihak itu memberi petanda nasib mereka sudah kelabu.
Kedudukan dan nasib mereka jadi terawan-awanan. Mahathir dan empat yang lain sudah tidak berparti? Andainya berlaku pilihan raya dalam masa terdekat, menyebabkan Mahathir dan yang lain itu tidak berada di atas mana-mana landasan.
Timbul idea di kepala daku, sekiranya kedudukan Mahathir dan yang lain itu kekal, tidak berparti, cara terbaik beliau untuk meneruskan perjuangan dan berpolitik dengan menyertai parti parti lain. Tidak mungkin untuk menubuh sebuah lagi parti baru. Saya optimis Bersatu akan jadi milik Muhyiddin.
Pilihan terbaik buat Mahathir dan yang lain-lain itu ialah menyertai Parti Amanah Negara (Amanah). Bukan setakat jadi ahli biasa sahaja, mungkin Mahathir boleh jadi pemimpin utama parti berkenaan. Mohamad Sabu saya rasa rela berkorban.
Selain bagi memastikan beliau dan para penyokongnya ada platform ia juga dapat membantu parti Amanah itu sendiri yang kini berhadapan dengan keadaan runcing untuk menggerakkan parti berkenaan, apabila sesudah berkerajaan kemudian hilang kerajaan. Amanah akan mendapat energi tambahan sekiranya Mahathir bersamanya.
Dan saya rasa tidak ada masalah dan halangan besar untuk Amanah menerima Mahathir kerana hubungan dan kemesraan mereka dengan Mahathir nampak semakin jelas. Mahathir sendiri juga pernah beberapa kali memuji sikap pemimpin Amanah yang beramanah, terbuka dan reda. Pemimpin Amanah juga berterima kasih banyak kepada Mahathir kerana memberi peluang mereka merasai keempukan kerusi menteri. Trims.