NILA SETITIK ROSAK SUSU SEBELANGA


Tulisan ini adalah pandangan saya. 😊

SARIDAH SH ABDULLAH

Dalam Malaysia, kaum terbesar ialah Melayu, diikuti Cina dan India. Kaum Melayu dinyatakan dalam perlembagaan bahawa agama mereka ialah Islam. Ini bermakna setiap bayi yang lahir dari keturunan Melayu dalam Malaysia, agamanya ada Islam.

Islam agama syumul dan suci yang setiap orang Melayu sepatutnya merasa beruntung kerana dikurniakan Islam sejak lahir. Malangnya, melihat cara hidup kebanyakan orang Melayu, Islam hanya menjadi agama ritual.

Sebagai penganut Islam dan majoriti kaum di Malaysia, sebahagian orang Melayu gagal menjadi teladan kepada kaum lain yang juga warganegara Malaysia. Sebagai penganut Islam yang mempercayai bahawa Tuhan, yakni Allahu Ahad, Ar Rahman Ar Rahim, Melayu gagal menunjukkan bahawa Islam mempercayai Tuhan Yang satu Yang Maha Pegampun Maha Mengasihani.

Sifat kebencian yang sangat tebal, sikap kasar dan biadap mereka terhadap bangsa lain amat memalukan dan mengecewakan sebahagian Melayu yang samasekali tidak menyokong sikap sebegitu. Keangkuhan Melayu kerana merasakan mereka adalah tuan tanah, telah, seolah memberi kebenaran dan pengiktirafan kepada apa sahaja perbuatan dan tindakan mereka walau ia bertentangan dengan peradaban manusia.

Sebahagian Melayu merasa amat tertekan dengan perangai 'barbaric' sebahagian Melayu seolah melangkah beribu langkah ke belakang ke zaman jahiliyah!

Saya yang amat menyangjungi kesopanan dan kesusilaan bangsa Melayu yang amat bersyukur dikurniakan Islam bersamanya merasa amat terkesan dan kesal dengan apa yang berlaku.

Ibarat nila setitik rosak susu sebelanga. Kerana perangai huduh sebahagian Melayu, sebahagian yang bertamadun, yang berusaha menjaga adab Melayu agar terpelihara kesantunan dan keindahannya, merasa amat kecewa dan kesal serta tidak rela atau terima Melayu yang berperangai jelik mewakili keseluruhan bangsa Melayu.

Saya berharap rakyat Malaysia dari bangsa lain tidak mengaitkan sifat bohong, menipu, menyeleweng, merompak merasuah, khianat dan segala sifat batil, dengan bangsa Melayu kerana saya sendiri tidak ingin dikaitkan dengan Melayu sebegitu.

Ia menyalahi semua kepercayaan dan peradaban. Kejahatan seseorang itu adalah pilihannya TIDAK ada kena mengena dengan bangsa jauh sekali agama, apatah lagi agama Islam.


No comments: