Trend mengikat Ahli-Ahli Parlimen dengan menawarkan mereka jawatan lumayan menerajui GLC untuk menjamin sokongan dalam usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri di Parlimen sebagaimana dilakukan secara berleluasa sekarang oleh Muhyiddin Yassin adalah sesuatu yang merbahaya dan tidak beretika.
Meskipun melantik Ahli-Ahli Parlimen menerajui GLC bukan sesuatu yang salah, tetapi melantik semua Ahli Parlimen penyokong kerajaan dengan kedudukan dalam GLC tanpa mengambil kira kelayakan dan kebolehan serta pengalaman mereka, adalah jelas amalan yang salah.
Selama ini, kalau pun tidak semua, tetapi majoriti Ahli Parlimen yang dilantik menerajui GLC adalah berdasarkan kebolehan, kelayakan dan pengalaman mereka dalam bidang pengurusan, kewangan, perniagaan dan sebagainya.
Di era PH, lebih ramai golongan profesional dilantik menerajui GLC berbanding pemimpin politik, bahkan pemimpin politik yang dilantik lebih didahulukan faktor kelayakan dan kebolehannya sebagai syarat utama.
Tetapi, kerana takut kalah dalam usul undi tidak percaya pada 18 Mei ini, Muhyiddin telah melakukan “lantikan borong” iaitu asal saja mereka Ahli Parlimen penyokong kerajaan, maka pasti ada jawatan menerajui GLC akan diperuntukkan.
Ahli-Ahli Parlimen yang sedar lantikan mereka itu semata-mata untuk menyokong kedudukan Perdana Menteri, bukan kerana kebolehan, kelayakan dan pengalaman, selain berkebarangkalian tinggi tidak akan mempedulikan prestasi dan kemajuan GLC yang diterajui, malah lebih mungkin menyalahgunakannya untuk kepentingan politik peribadi masing-masing.
Amalan itu seterusnya akan mendedahkan GLC terbabit kepada campurtangan politik, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan tanpa sebarang tindakan atau teguran oleh Perdana Menteri.
Juga GLC-GLC terbabit akan terdedah sebagai tempat mengukuhkan kedudukan politik Ahli-Ahli Parlimen berkenaan dengan bercambahnya amalan kronisme dalam meraih kontrak-kontrak yang diperuntukkan.
Mereka tahu, selagi mereka menyokong Muhyiddin yang kedudukannya tidak stabil itu, selagi itulah keududukan mereka dalam GLC tidak berani diusik.
Akhirnya semua GLC akan terdedah kepada kerugian sedangkan GLC diwujudkan untuk membantu kerajaan menambah kedudukan kewangan negara melalui keuntungan dan cukai tahunan.
Amalan ini juga jelas lebih bahaya daripada pendekatan “cash is king” yang diamal dan dibudayakan oleh Najib Razak sebelum ini.
Jika Najib hanya gemar melakukan pemberian wang tunai untuk mendapatkan sokongan, tindakan Muhyiddin membeli sokongan dengan mempertaruhkan jawatan menerajui GLC demi kepentingannya politiknya lebih melibatkan kerugian yang besar kepada kewangan negara.
Akibatnya, keuntungan lumayan yang dinikmati oleh GLC selama ini tidak lagi berlaku dan seterusnya akan mengancam kedudukan kewangan negara.
Adalah tidak mustahil, lebih banyak GLC akan rugi berbanding untung selepas ini, tidak terkecuali mungkin ada yang menanggung hutang lebih tinggi berbanding beban 1MDB.
Sebab itulah Muhyiddin dengan amalannya yang merbahaya ini tidak boleh diberi masa yang lebih lama mentadbir negara sebagai Perdana Menteri.
Titik noktah mesti diberikan kepadanya pada 18 Mei akan datang ini, sebelum lebih banyak kerugian dan kemusnahan kepada negara terus berlaku. (ShahbudinHusin 11/05/2020)