Friday, May 15, 2020

KELOMPOK MANA DALAM PN YANG SOKONGAN MEREKA DIRAGUI MUHYIDDIN?


Apabila Muhyiddin Yassin terus mengelak untuk berdepan dengan usul undi tidak percaya di Parlimen, adalah jelas ia disebabkan beliau tidak yakin dengan sokongan majoriti yang dimilikinya.
Tidak ada sebab lain mengapa beliau terus mengelak daripada mengadakan Sidang Parlimen, melainkan bimbang dengan kehilangan jawatan.
Daripada jadual adal 9 Mac, Parlimen ditangguhkan kepada 18 Mei, kemudian sidang pula hanya diadakan sehari dan terbaru, diubah lagi kepada setengah hari dengan acara setakat upacara pembukaan oleh Yang Dipertuan Agong saja.
Di dalam kerajaan PN yang meletakkannya sebagai Perdana Menteri sekarang, terdapat beberapa kelompok berbeza yang menjadi penyokongnya.
Mereka adalah:-
⁃ Sebahagian daripada Bersatu
⁃ Daripada UMNO dan BN
⁃ Kelompok Pas
⁃ Kumpulan Azmin Ali
⁃ GPS di Sarawak
⁃ Parti-parti kecil dan Ahli Parlimen Bebas.
Sekiranya semua kelompok di atas memberi sokongan tidak berbelah bagi terhadapnya, adalah mustahil ketakutan hilang jawatan masih menyelubunginya.
Dikira, melalui sokongan semua kelompok itu, sokongan minimum sekurang-kurangnya 122 daripada keseluruhan 222 Ahli Parlimen tidaklah sukar diperolehi.
Tetapi, berdasarkan ketakutannya berdepan usul undi tidak percaya yang akan dibawa oleh Tun Mahathir Mohamad, sokongan daripada kelompok manakah yang tidak dipercayainya?
Adakah Muhyiddin tidak percaya terhadap sokongan Ahli Parlimen Bersatu yang pro kepadanya, termasuk daripada kategori pelompat-pelompat katak daripada UMNO?
Adakah Muhyiddin masih meragui undi daripada Ahli Parlimen UMNO dan BN, walaupun Zahid Hamidi sudah mengikrarkan sokongan penuh, malah mahu memberi undi secara en-bloc kepadanya?
Ataukah oleh kerana masih ada Ahli Parlimen Pas belum dapat jawatan dalam GLC, maka Muhyiddin tetap tidak pasti dengan sokongan parti Islam itu terhadapnya?
Mungkinkah juga beliau bimbang kelompok Azmin Ali tidak begitu padunya akan menyokongnya?
Adakah sokongan daripada kelompok GPS yang masih membimbangkan Muhyiddin?
Tidak mustahilkah tiga empat Ahli Parlimen Bebas dan parti-parti kecil, walaupun ada di antara mereka diberikan jawatan timbalan menteri, tetapi masih tidak berpuas hati dengan jawatan yang diberi, lalu keteguhan sokongan mereka membuatkan Muhyiddin begitu ragu?
Kelompok manakah sebenarnya dalam PN yang masih tidak dipercayai Muhyiddin dalam usul undi tidak percaya terhadapnya?
Namun, jika Muhyiddin masih tidak percaya terhadap mereka sekarang ini, apakah jika usul itu dibentangkan pada Julai nanti, tahap sokongan mereka sudah betul-betul boleh dipercayai?
Bagaimana jika makin masa berlalu, makin ramai yang menolaknya? 
(ShahbudinHusin 14/05/2020)

No comments:

Blog Archive

My Blog List

Followers