Ketika rakyat bergelut dengan impak ekonomi Covid-19, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat lebih mementingkan pembahagian jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bergaji besar sesama mereka.
Menurut Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Teluk Intan, Woo Kah Leong, tindakan itu jelas menunjukkan sikap kerajaan PN yang lebih mementingkan “kroni” dan meminggirkan rakyat yang menghadapi kesempitan kewangan.
Malah, memandangkan kerajaan PN tidak menerima mandat rakyat menerusi pilihan raya, sokongan ahli Parlimennya terpaksa “dibeli” menerusi cara pembahagian jawatan GLC, dakwanya.
“Tiada lagi rasa segan silu di hadapan rakyat apabila penyusunan ahli-ahli parlimen untuk memegang jawatan-jawatan penting di dalam GLC dilakukan dengan begitu gelojoh dan semberono sekali.
“Di bawah rejim PN, pengiktirafan kuasa yang dimiliki perlu dibeli melalui cara pengagihan jawatan dan bukannya melalui pengiktirafan mandat rakyat di dalam PRU,” katanya.
Kerajaan PN sebelum ini menarik perhatian rakyat dengan pembentukan salah satu Kabinet terbesar dalam sejarah negara.
Pemerhati politik melihat ia sebagai cara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengikat sokongan Ahli Parlimen PN dalam sebuah gabungan yang longgar.
Ahli Parlimen PN yang tidak dilantik ke dalam barisan Kabinet pula diberikan jawatan dalam GLC dengan gaji dan elaun yang mencecah ratusan ribu ringgit.
Kerajaan PN tabur janji manis
Mengulas lanjut, kata Kah Leong, ketika jawatan GLC sibuk diagihkan, rakyat termasuk petugas barisan hadapan ditabur dengan pelbagai janji manis dalam bentuk bantuan kewangan, namun akhirnya kecewa kerana permohonan ditolak atas alasan tidak masuk akal.
“Dalam tempoh beberapa hari lalu, kita mendapat berita ramai golongan rakyat yang ditolak permohonan bantuan mereka oleh kerajaan atas pelbagai alasan.
“Ada yang ditolak permohonan kerana mempunyai lesen perniagaan bahkan ada pemohon yang mengatakan permohonan ditolak atas alasan dikatakan beliau sudah meninggal.
“Kita juga mendapat perkhabaran tentang keluh kesah para petugas barisan hadapan tentang kesukaran mereka mendapatkan bayaran elaun khas yang dijanjikan dahulu,” ujarnya.
Katanya, masalah hari ini berlaku akibat kelemahan kerajaan PN yang tidak meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan peribadi.
“Ia dapat dibaiki sekiranya PN memandang masalah rakyat lebih utama untuk diselesaikan berbanding masalah pengagihan jawatan GLC dalam kalangan ahli parlimen PN demi mengukuhkan kuasa,” katanya.
Tambahnya, langkah Pakatan Harapan meletakkan golongan profesional yang bebas pengaruh politik dalam kedudukan penting GLC bagi mereformasi sistem pentadbiran negara terhenti gara-gara tindakan PN.
“Kita bertuah kerana ketika negara diancam oleh penularan Covid-19, kita dianugerahkan petugas barisan hadapan yang penuh komited dalam menyelamatkan negara.
“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada mereka. Namun demikian, sejauh mana kita dapat melihat kesungguhan rejim PN dalam usaha menyelamatkan negara dan mengurangkan beban rakyat?” soalnya.