Pasca pengkhianatan: Kartel PKR runtuh, parti lebih stabil
Pengkhianatan dua orang ADUN PKR di Kedah mungkin dilihat sesetengah pihak sebagai kelemahan parti dalam mengawal pemimpin. Namun sekiranya dilihat secara keseluruhan, peristiwa tersebut mempunyai hikmah di sebaiknya.
Bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, melompatnya para pemimpin pengkhianat tersebut berkait rapat dengan Langkah Sheraton yang dirancang oleh Azmin Ali dua bulan lalu. Sejak itu, para penyokong beliau di Melaka, Perak dan terbaharu Kedah secara bersiri meninggalkan parti.
Namun katanya, dengan para penyokong kartel meninggalkan PKR maka pembinaan semula jati diri ahli parti lebih mudah dilakukan, terutamanya di Perak.
PKR Perak, menurut Farhash akan menjadi lebih teguh dengan satu nakhoda, iaitu ketaatan kepada presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim
“PKR Perak antara negeri yang paling kuat dalam memberikan sokongan pada presiden. Kubu yang telah dibina sejak saya diamanahkan sebagai pengerusi negeri diterima baik oleh akar umbi, seperti yang diperlihatkan dalam konvensyen (Perak) pada tahun lepas.
“Dengan hilangnya fahaman kabilah kartel di dalam parti, kita dapat melakukan usaha reformasi dengan lebih mantap,” katanya kepada Suara Keadilan.
Farhash tidak terlalu bimbang melihat masa hadapan PKR di Perak, terutama menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 15. Katanya, rakyat akan menilai prestasi kerajaan manakah lebih baik, sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).
Tambahan pula, Sultan Perak baru-baru ini telah memuji perkhidmatan Kerajaan PH yang berjaya meningkatkan hasil negeri lebih RM50 juta atau melebihi 100% daripada jangkaan awal pada 2019.
“Perak tidak diurus dengan baik (oleh PN), jika kita lihat kegelojohan mereka menukar ketua kampung dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan sewaktu krisis Covid-19. MB Faizal (sebenarnya) mempunyai masalah besar dalam membuat keputusan pentadbiran.
“Saya pasti setelah rakyat melihat karenah beberapa pemimpin yang gelojoh selepas pembentukan kerajaan pusat secara ‘pintu belakang’, keputusan yang bijak akan dibuat oleh pengundi (dalam PRU 15) yang inginkan masa depan negara terjamin,” katanya lagi.
Untuk rekod, Perak mencatat sejarah tersendiri, berlaku rampasan kuasa setiap kali Pakatan memerintah. Rampasan kuasa pertama pada 2009, iaitu hampir setahun Pakatan Rakyat memerintah. Manakala rampasan kedua pada 2020.
Rakyat yang inginkan kerajaan stabil dan berkebajikan selepas ini wajar memikirkan untuk mengalahkan terus Umno dan Pas di semua kerusi negeri itu bagi mengelakkan rampasan kuasa berikutnya.