Perjuangan Pas: Hizbullah vs Hizbu Syaitan?
Oleh: Tinta Hijau
Sejak Pas memulakan era kepimpinan ulama pada 1980an, berkali-kali Dewan Ulama parti itu menegaskan bahawa Pas merupakan Hizbullah ataupun Parti Allah. Sedangkan, lain-lain parti yang tidak berjuang pada jalan Allah atau menjunjung falsafah sekular adalah Hizbu Syaitan.
Apabila Pas menyertai ‘kerajaan tebuk atap’ bersama – sama Umno dan sebahagian PKR yang dipertikaikan akhlak dan hala tuju perjuangan mereka, timbul persoalan, apakah Pas telah bersedia bekerjasama dengan Hizbu Syaitan?
Apatah lagi dalam membentuk Kerajaan Persekutuan dan Negeri bersama-sama ahli parlimen atau ADUN yang berkhianat dan menyalalahi asas perjuangan Islam. Adakah Pas berlapang dada menerima mereka, para pengkhianat parti Hizbu Syaitan itu untuk meraih kuasa, pangkat dan harta dunia?
Perjuangan lari jauh
Sangat berbeza kaedah memperjuangkan Islam Pas pada zaman almarhum Yusuf Rawa, Fadzil Noor dan Nik Aziz Nik Mat berbanding sekarang. Almarhum Hassan Syukri pun telah tiada bagi mempertahankan perjuangan suci Pas.
Kebelakangan ini kelihatan benar analisis dan pendapat umum bahawa Pas sudah lari jauh daripada perjuangan asal bila mana bekerjasama dan menerima mesra Umno yang pernah dituduh sebagai sangat tidak Islamik. Pas ketika Anwar Ibrahim menyertai Umno pada 1982 melabelkan Umno sebagai tong tahi. Pas menyindir Anwar tidak mungkin dapat membersihkan bekas najis, sebaliknya najis pula akan melumuri tubuh Anwar. Apabila Anwar dipecat dari Umno, Pas menganggap pejuang Islam itu telah KELUAR DARIPADA TONG NAJIS.
Ironinya, tong najis inilah yang sekarang Pas sedang bergelumang, berenang dan bersuka ria di dalamnya. Apatah lagi status pembangkang telah bertukar kepada kerajaan yang menjanjikan kemewahan harta benda.
Sambaran api neraka
Pas suatu ketika pernah mendakwa sesiapa yang menyukai atau menyokong Umno condong kepada sambaran api neraka. Namun apakah yang terjadi hari ini? Parti manakah yang bukan sahaja menyukai malah berpeluk cium dengan Umno?
Kata sesetengah aktivis veteran Pas, bila mantan-mantan pemimpin Pas menubuhkan Amanah pada 2015 lalu dan berkerjasama dengan Mahathir Mahazalim – bekas Umno – maka hal itu membuka jalan untuk Pas bekerjasama dengan Umno. Fatwa dari mana pula boleh ikut-ikutan begitu?
Kononnya Umno telah diselidiki, disiasat dan dipastikan telah berubah kulit serta cara berjuang, kononnya perjuangan Umno mirip perjuangan Pas. Adakah Pas hari ini mengiktiraf kata-kata ustaz Umno, Yusuf Noor, suatu ketika dahulu bahawa Umno adalah parti Islam ke-3 terbesar di dunia?
Penasihat 20%
Akhir kalam, tahniah diucapkan buat Zuhdi Marzuki, Nasarudin Mat Isa, Nasrudin Hasan, Nik Abduh, Nik Zawawi, Takiyudin Hasan dan lain-lain yang dianggap berjaya menasihatkan Majlis Syura Ulama Pas dan Presiden Pas serta AJK Pas Pusat untuk bekerjasama dengan Umno. Sehingga Pas berjaya berada dalam Kabinet dan dilantik sebagai Exco di negeri-negeri.
Dalam jangka pendek nampak strategi Pas berjaya. Namun jangka panjang adakah akan terus sukses hanya Allah yang mengetahui. Semoga mereka dikenang sebagai penasihat berguna, bukan Tuan Penasihat 20% macam cerita Tiga Abdul, P Ramlee.
_______________________________________________________________________________
Penulis merupakan pemerhati politik sejak era Fadzil Noor Presiden Pas