Projek kuih raya: rakyat dibantu, pasukan hadapan disantuni
Sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini ternyata berbeza berbanding tahun-tahun lain. Penguatkusaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi memerangi penularan pandemik berbahaya, Covid-19 telah membawa impak yang besar kepada kehidupan rakyat.
Ramai peniaga terutama penggiat industri kecil dan sederhana (IKS) terkesan ekoran PKP. Ramai dikatakan menjadi orang miskin baru (OMB) akibat terputus gaji. Ramai juga dilaporkan kehilangan pekerjaan. Golongan-golongan ini perlu diberi perhatian segera.
Sehubungan itu, prihatin terhadap nasib golongan tersebut, wakil-wakil rakyat DAP telah tampil menggerakkan inisiatif projek kuih raya dalam usaha membantu golongan memerlukan memperoleh sedikit rezeki sebelum Syawal menjelma.
Projek ini juga mempunyai misi serampang dua mata tersendiri iaitu membantu peniaga kuih raya daripada aspek pemasaran, ia juga bertujuan menyantuni para petugas barisan depan yang bertungkus-lumus memberi perkhidmatan terbaik dalam memerangi pandemik terbabit.
Inisiatif ini sekali gus mencerminkan pendekatan proaktif wakil-wakil rakyat DAP ini dalam mendengar denyut nadi rakyat yang terjejas terutama menjelang musim perayaan.
Di Seremban, Negeri Sembilan, ahli Parlimennya, Anthony Loke Siew Fook telah mengambil inisiatif untuk mengumpulkan sekumpulan suri rumah untuk menghasilkan 5,000 balang biskut raya.
Semua biskut raya tersebut dihadiahkan kepada petugas pasukan hadapan di seluruh Negeri Sembilan sebelum Hari Raya Aidilfitri sebagai penghargaan terhadap pengorbanan mereka melawan Covid-19 demi keselamatan kita semua.
Setiap balang biskut yang dihasilkan akan dibayar RM20. Melalui pendekatan ini, mereka yang terlibat dalam projek tersebut juga boleh mendapat sedikit rezeki sebelum Raya.
Inisiatif ini mendapat sambutan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Suri Rumah Rahmah (SRR) yang menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada Anthony.
Pertubuhan itu berkata, usaha murni tersebut adalah selari dengan misi mereka di SRR untuk menjuarai advokasi isu berkaitan suri rumah.
“Kami menyambut baik initiatif mulia seperti ini.
“Keperihatinan YB kepada golongan suri rumah untuk memberi sumbangan kepada masyarakat adalah sebuah bentuk pengiktirafan bagi memartabatkan kerjaya suri rumah di Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebook baru-baru ini.
SRR turut berharap lebih ramai suri rumah terinspirasi dengan usaha sebegini dan cuba mengambil peluang untuk berperanan dalam masyarakat mengikut kapasiti masing-masing.
Sementara itu, di Kluang, Johor, ahli Parlimennya, Wong Shu Qi menggerakkan inisiatif program Kuih Raya Sayangi Kluang. Pihaknya menyumbang bahan, membantu buat tempahan, serta menjalankan pemasaran.
Usaha ini dilihat dapat mempertingkatkan kebolehpasaran produk usahawan wanita yang terlibat dalam program berkenaan sekali gus memberikan pengguna lebih banyak pilihan.
Dalam pada itu, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, ahli Parlimen, Steven Sim memaklumkan, Team I Love BM telah melawat beberapa keluarga kurang bernasib baik di Bukit Mertajam.
Melalui projek Kuih Raya I love BM ini, keluarga-keluarga miskin di kawasan tersebut akan dipilih dan dibantu untuk menjana pendapatan melalui penghasilan kuih raya. Golongan tersebut akan membuat kuih raya, manakala pihaknya akan membeli.
Seterusnya, kuih raya itu akan dihadiahkan kepada pasukan hadapan termasuk di hospital, balai polis, balai bomba, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Rela, Angkatan Pertahanan Awam sebagai menghargai jasa mereka berkhidmat pada sepanjang PKP.