KENYATAAN MEDIA KETUA ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) MALAYSIA*


*15 MEI 2020*

*ISU SUMBANGAN RM 1 JUTA: PERTEMUAN MENTERI ZURAIDA DENGAN SYARIKAT ECK DEVELOPMENT BERLAKU LEBIH DARIPADA SEKALI?*

Merujuk kepada laporan media dan juga kenyataan saya semalam, isu penerimaan sumbangan RM 1 juta daripada Syarikat ECK Development Sdn Bhd (ECKDSB) kepada NGO mesra YB Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) iaitu Penggerak Komuniti Nasional (PKN) menimbulkan lebih banyak persoalan.

Pertama, laporan media telah mengesahkan bahawa gambar tersebut sebenarnya telah dimuatnaik di laman sosial YB Menteri sendiri sebelum dipadamkan.

Persoalnya, kenapa status tersebut dipadamkan? Adakah sesuatu perkara cuba disembunyikan?

Kedua, laporan tersebut juga memaklumkan bahawa Syarikat ECKDSB telah disenarai hitam kerana gagal membayar kompaun setakat 8 Mei.

Namun semakan semalam (tarikh 14 Mei 2020) di laman KPKT menunjukkan bahawa dokumen berkenaan telah dikemaskini "pada 15 Mei", di mana syarikat itu tidak lagi berada dalam senarai hitam.

Bagaimana nama Syarikat ECKDSB boleh dikeluarkan daripada senarai tersebut dan dokumen baru yang dimuatnaik semalam (14 Mei) tetapi bertarikh 15 Mei iaitu melangkaui sehari lebih awal?

Ketiga, apa yang lebih mengejutkan lagi, berdasarkan maklumat daripada laman sosial KPKT sendiri, YB Zuraida dikatakan telah bertemu dengan Syarikat ECKDSB sejak tahun lepas lagi.

Malah, berdasarkan status yang dikongsikan, pertemuan tersebut merupakan sesi taklimat yang diberikan oleh Syarikat ECKDSB kepada Menteri dan dimasukkan sebagai sebahagian daripada kerangka lawatan rasmi Menteri tersebut pada 14 Julai 2019.

Berdasarkan kelibat YB Azman Nasrudin di dalam muatan gambar tersebut iaitu ADUN Lunas yang baru-baru umum khianati KEADILAN, pertemuan tersebut disyaki berlaku di Kedah.

Gambar-gambar boleh dilihat di page saya https://www.facebook.com/593529354077239/posts/3012487102181440/

Malah individu-individu dari Syarikat ECKDSB yang sama iaitu terlibat dalam majlis penyerahan cek RM 1 juta turut berada bersama dalam lawatan kerja Menteri.

Ini menimbulkan persoalan samada YB Zuraida sebenarnya telah mengenali Syarikat ECKDSB lebih awal dan mungkin menjelaskan kehadiran beliau menerima replika cek RM 1juta bagi NGO mesra beliau bukan sekadar simbolik sahaja.

Bukankah dengan menerima sumbangan bagi pihak NGO naungan beliau dari sebuah syarikat yang berkepentingan dan pernah berurusan dengan beliau selaku Menteri menimbulkan persoalan kepentingan peribadi (conflict of interest)?

Saya pada mulanya berhasrat menanyakan soalan-soalan ini di Parlimen minggu depan tetapi tidak berpeluang kerana tiada sesi soal jawab Menteri.

Saya juga menyeru sekali lagi agar pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat mengambil serius perkara ini dan memulakan siasatan awal.

Sekian, terima kasih.

*AKMAL NASIR*
*Ahli Parlimen Johor Bahru*
*Ketua AMK Malaysia*



No comments: