SIAPA SEBENARNYA YANG BEBASKAN ANAK TIRI ROSMAH


Isu pembebasan tanpa dilepaskan anak tiri Najib Razak, Riza Abdul Aziz daripada tuduhan penggubahan wang haram bernilai AS$248 juta (RM1.25 bilion) sebagaimana yang diumumkan semalam, terus menjadi pertikaian ramai.
Pada mulanya, pembebasan Riza itu dimaklumkan oleh Gopal Sri Ram yang merupakan Timbalan Pendakwaraya kes tersebut.
Katanya, ia adalah berikutan suatu persetujuan telah dicapai antara pihak pendakwa dengan tertuduh di mana Kerajaan Malaysia akan menerima sejumlah wang daripada penyelesaian tersebut.
SPRM dalam kenyataan medianya kemudian mengumumkan bahawa jumlah wang yang akan diterima oleh Kerajaan Malaysia daripada penyelesaian itu adalah berjumlah AS$107.3 juta atau RM465.3 juta.
Tertuduh juga dikehendaki membayar sejumlah kompaun kepada kerajaan sebagaimana dibenarkan di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang mana ia adalah bersifat punitif sebagai alternatif kepada pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
SPRM turut memaklumkan, persetujuan membebaskan Riza itu adalah keputusan yang telah dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.
Bagaimanapun, hanya beberapa ketika selepas kenyataan SPRM itu, Tommy Thomas telah tampil menafikan sebarang penglibatannya dalam membebaskan Riza.
Katanya, beliau memang tahu peguam Riza ada membuat representasi kepada Pejabat Peguam Negara berhubung perkara itu dan telah menyerahkannya kepada Gopal Sri Ram yang merupakan Timbalan Pendakwaraya kes berkenaan untuk membuat semakan.
“Saya telah bersara dua setengah bulan yang lalu dan setakat itu, tidak ada sebarang perjanjian untuk menggugurkan pertuduhan ke atas Riza.
“Justeru, adalah tidak benar sama sekali dan merupakan pemalsuan untuk mengatakan saya bersetuju untuk membebaskan Riza.
“Saya amat kecewa apabila SRRM terpaksa membuat kenyataan palsu tersebut,” tegas Tommy Thomas lagi.
Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki tetap bertegas bahawa keputusan berkaitan Riza itu adalah keputusan yang mendapat persetujuan daripada Tommy Thomas.
Katanya, ia adalah keputusan pasukan pendakwaan yang diketuai oleh Tommy Thomas kerana kes Riza merupakan kes yang sedang berjalan di mahkamah, jadi apa-apa keputusan adalah dibuat oleh Timbalan Pendakwaraya.
“Tidak mengapalah kalau bekas Peguam Negara hendak nafikan perkara itu, ia terpulang kepadanya. Saya OK dan kami teguh dengan kenyataan kami,” kata Azam Baki lagi.
Berdasarkan renteten ini, siapa sebenarnya yang membuat keputusan setuju menerima representasi daripada Riza dan seterusnya membebaskan beliau daripada pertuduhan penggubahan wang haram?
Adakah Timbalan Pendakwaraya, Gopal Sri Ram secara sendirian yang membuat keputusan tersebut kerana terbukti Tommy Thomas tidak pernah terlibat dalam sebarang keputusan berkaitan Riza sewaktu memegang jawatan Peguam Negara dahulu?
Jika benar keputusan itu telah dipersetujui Tommy Thomas, mengapa hanya setelah dua bulan setengah beliau bersara, baru ia diumumkan?
Kenapa tidak diumumkan sejak dulu lagi?
Ataukah Gopal Sri Ram membuat keputusan itu setelah mendapat restu, lampu hijau dan kebenaran daripada Peguam Negara baru, Idrus Harun?
Dan sekarang, bolehkah Idrus segera tampil memberi penjelasan untuk menjernihkan keadaan?
Berdasarkan kenyataan Azam Baki bahawa ini adalah kes yang sedang berjalan dan hanya Timbalan Pendakwaraya yang boleh membuat apa-apa keputusan untuk melepas atau membebaskan tertuduh, adalah penting sebenarnya Pejabat Peguam Negara tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk tampil memberi penjelasan berserta sebab-sebabnya.
Jika tidak, kepercayaan umum ialah tindakan membebaskan Riza ini merupakan arahan pihak eksekutif kepada Pejabat Peguam Negara yang dilihat sebagai “hadiah” UMNO menjadi kerajaan semula serta permulaan kepada usaha-usaha membebaskan tertuduh-tertuduh lain yang ada kaitan dengan pemimpin parti itu yang dilakukan era PH dahulu? 
(ShahbudinHusin 15/05/2020)


No comments: