Melawan persepsi negatif zaman berzaman



Oleh MOHAMMED SOFIAN
Rakyat sejak sekian lamanya telah dimomokkan oleh Barisan Nasional (BN) dengan persepsi kononnya DAP membawa ancaman kepada masyarakat Melayu di negara ini.

Pelbagai istilah digunakan oleh mereka, seperti ‘parti cauvinis Cina’, ‘parti perkauman’ dan sebagainya untuk menggambarkan seolah-olah DAP sebagai musuh orang Melayu.
Menggunakan jentera propaganda mereka terutama media cetak dan elektronik, pihak ini secara berterusan menyerang parti ini dengan pelbagai isu yang tidak berasas.

Sentimen kaum dan agama sering kali dimainkan dalam usaha mencipta naratif songsang kononnya kewujudan DAP hanya akan memudaratkan kedudukan orang Melayu.

Tanpa henti, pelbagai persepsi diwujudkan mereka untuk memburuk-burukkan DAP, sehinggakan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pun, pembohongan dan fitnah yang dilemparkan pihak lawan terus dicanang, seolah-olah kekeringan modal.

Pun begitu, rakyat telah sedar dan tidak terperangkap dalam permainan mereka. Gabungan politik Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai DAP menjadi pilihan majoriti rakyat di negara ini pada pilihan raya berkenaan.

Walau bagaimanapun, pihak tersebut tidak putus asa. Mereka terus memainkan persepsi sama sehingga kini dengan harapan, ia akan memberi lonjakan politik kepada parti mereka.
Pendekatan politik seumpama ini pastinya membawa kepada permasalahan-permasalahan berbangkit terutama melibatkan hubungan antara kaum di negara ini.

DAP junjung Perlembagaan

Oleh itu, adalah penting untuk mengingatkan kepada semua pihak bahawa DAP yang diasaskan pada 1966, adalah sebuah parti pelbagai kaum yang mahu membawa rakyat bersama negara ke arah keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran tanpa mengira kaum, agama, jantina dan wilayah.

Selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, DAP menggalas matlamat untuk mempertahankan Perlembagaan, Islam sebagai agama rasmi bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman damai di mana-mana di negara ini.

Selain itu, DAP komited dengan matlamat untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar Perkara 153.
Malah, DAP mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi Raja Berperlembagaan.

Tambahan pula, parti ini turut memartabatkan penggunaan bahasa Melayu selari Perkara 152 Perlembagaan dan memperluaskan bahasa Melayu sebagai lingua francia serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

DAP juga vokal dalam mengecam Israel serta mempertahankan hak Palestin.
Perkara-perkara ini cuba dikaburkan oleh pihak BN kerana khuatir naratif-naratif songsang yang dipromosikan mereka sejak sekian lama itu sudah tidak lagi berkesan. 

Kekangan modal ini amat dibimbangi kerana ia akan menjadikan mereka tidak relevan di mata penyokong-penyokongnya.

Peruntukan sekolah agama meningkat

Ini ditambah pula dengan pemberian-pemberian pelbagai peruntukan oleh Kerajaan PH kepada institusi-institusi umat Islam di negara ini antaranya melibatkan sekolah agama, tahfiz dan sekolah pondok.

Baru-baru ini, Kementerian Kewangan menyerahkan peruntukan sebanyak RM100 juta bagi tujuan menyelenggara dan menaik taraf institusi-institusi Islam bagi tahun ini merangkumi:
  1. Sekolah tahfiz sebanyak RM50 juta
  2. Sekolah agama rakyat dan persendirian sebanyak RM25 juta dan
  3. Sekolah pondok yang berdaftar sebanyak RM25 juta.
Peruntukan tersebut merupakan peningkatan sebanyak RM50 juta berbanding dengan peruntukan oleh kerajaan terdahulu dalam Belanjawan 2018, yang tidak menyediakan peruntukan bagi sekolah agama rakyat dan sekolah pondok. 

Peruntukan RM100 juta ini menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan untuk memastikan para pelajar menikmati persekitaran pembelajaran yang selamat dan selesa di sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan persendirian serta sekolah pondok yang berdaftar. 

DAP turut komited dalam meletakkan negara ke landasan betul dari segi ekonomi. Suntikan dana oleh kerajaan telah membuktikan usaha untuk memulihkan FELDA.

Siapa yang akan meraih manfaat daripada semua perkembangan ini kalau bukan orang Melayu itu sendiri?

Sehubungan itu, dakwaan-dakwaan BN bahawa DAP adalah parti perkauman bolehlah dibakulsampahkan. Mari kita bergerak ke depan dalam membina sebuah negara yang progresif dan maju untuk dimanfaat oleh anak cucu kita kelak.