Selesaikan masalah ekonomi punca rakyat tak puas hati
Presiden PKR Anwar Ibrahim berterus terang mengenai masalah yang membelenggu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sehingga kalah dalam pilihan raya kecil Kimanis, Sabah.
Menurutnya, masalah ekonomi rakyat yang gagal diselesaikan oleh PH setelah setahun berkuasa menyebabkan sokongan merosot. Justeru itu, katanya, PH perlu berusaha lebih keras dalam baki 3 tahun pemerintahannya menuju pilihan raya akan datang.
“Kami telah menerima keputusan dan kami menerima keputusan itu. Tahniah kepada calon yang menang dan terus berkhidmat.
“Sudah jelas bahawa banyak masalah yang dihadapi oleh rakyat adalah masalah ekonomi.
“Kita terima keputusan seperti biasa. Tahniah kepada calon yang menang, teruskan berkhidmat. Tapi saya percaya di Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Shafie Apdal, Warisan dan juga di Malaysia Pakatan Harapan, kita akan terus meningkatkan usaha kita,” katanaya ketika ditemui pemberita semasa majlis Tahun Baru Cina di kawasan parlimennya, di Port Dickson.
Anwar menambah bahawa ketika ini bukan masa untuk menyalahkan sesiapa.
“Saya fikir bukan masalah menyalahkan sesiapa, tapi tindakan harus diambil. Kalau tak dapat terima kenyataan ini kesannya parah.
“Nampaknya sudah menyeluruh ke seluruh negara,” katanya.
Anwar juga menegaskan bahawa, tanggungjawab itu bukan hanya untuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad tapi juga kesemua pemimpin PH termasuk dirinya.
Mengulas isu berasingan, Anwar berkata beliau menyerahkan kepada lembaga disiplin PKR berhubung isu melibatkan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin yang dihantar surat tunjuk sebab.