AHLI MPP PKR YANG TIDAK SENADA HARUS DIAMBIL TINDAKAN



PKR dalam mesyuarat MPP semalam telah bersetuju untuk membawa isu peralihan jawatan Perdana Menteri ke dalam mesyuarat Majlis Presiden PH untuk diputuskan.
Untuk tujuan itu, kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, mesyuarat juga membuat ketetapan agar enam wakil PKR dalam Majlis Presiden PH hendaklah membawa suara yang sama sepertimana keputusan parti.
“Seperti yang diketahui umum, calon Perdana Menteri untuk menggantikan Tun Mahathir Mohamad sudah jelas iaitu Anwar Ibrahim dan perkara ini telah dipersetujui sejak Januari 2018 lagi,” kata beliau.
Enam wakil PKR dalam Majlis Presiden PH ialah Anwar, Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Azmin Ali, Tian Chua, Dr. Xavier Jayakumar dan Saifuddin.
Berdasarkan perjanjian yang sudah dipersetujui sebelum PRU14 lagi iaitu Anwar sebagai pengganti kepada Tun Mahathir, isu yang belum selesai sekarang hanyalah tentang tarikh peralihan kuasa saja.
Ini bermakna, kedudukan Anwar untuk menggantikan Tun Mahathir tidak boleh dipertikai atau diubah lagi dan enam wakil PKR dalam Majlis Presiden mesti berpegang kepada pendirian tersebut.
Berkenaan tempoh peralihan kuasa, berdasarkan janji mulut Tun Mahathir sendiri, beliau hanya mahu memegang jawatan Perdana Menteri selama dua tahun atau sehingga Mei 2020 saja.
Perkara itu diulangnya banyak kali sama ada di dalam negara, mahu pun di luar negara.
Bagaimanapun, baru-baru ini Tun Mahathir meminta agar peralihan kuasa dianjakkan sehingga November iaitu selepas Sidang APEC 2020 di Kuala Lumpur.
Oleh kerana sebarang keputusan mengenai tarikh peralihan kuasa seharusnya diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, permintaan Tun Mahathir itu boleh dianggap tidak sah sehingga ia diputuskan oleh badan tersebut.
Untuk itu, Majlis Presiden perlu bermesyuarat dalam waktu terdekat ini untuk memutuskanya.
Apa yang difahami, khususnya berdasarkan janji mulut Tun Mahathir sendiri, peralihan kuasa sebenarnya mesti dilakukan dalam tempoh lingkungan dua tahun atau dua tahun setengah sehingga November 2020, itu pun jika Anwar dan Presiden bersetuju dengan anjakan tarikh itu.
Dalam hal ini, adalah penting, sebelum Majlis Presiden PH bermesyuarat, PKR sebagai parti terbesar dan mempunyai jumlah Ahli Parlimen terbesar hendaklah bermesyuarat terlebih dahulu memutuskan tarikh peralihan kuasa itu.
Jika PKR dalam mesyuaratnya MPPnya memutuskan Mei sebagai tarikh peralihan kuasa, maka ia adalah keputusan parti dan enam wakil dalam Majlis Presiden PH wajib bersetuju dan senada mempertahankan tarikh tersebut.
Bertindak sebaliknya atau engkar dengan keputusan parti, bermakna mereka telah khianat kepada PKR dan tindakan disiplin boleh diambil berkenaan dengannya.
Untuk kebaikan PKR dan masa depan PH keseluruhannya, sudah sampai masanya PKR lebih bertegas dalam isu peralihan kuasa ini.
Lagi pun, tanpa PKR dan laungan reformasi yang diasaskan oleh Anwar dan diperjuangkan tanpa henti sejak 1998, menumbangkan BN dalam PRU14 lalu adalah sesuatu yang mustahil, walau oleh siapa dan segagah mana pun aura yang dimiliki oleh seseorang itu. (ShahbudinHusin 19/01/2020)

No comments: