Jangan besarkan isu kosongkan kerusi Parlimen Batu
Isu pengosongan kerusi Parlimen Batu tidak patut diperbesar sehingga mengeruhkan keadaan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tambah Presiden KEADILAN itu, isu mengenai kerusi tersebut sama ada wajar dikosongkan atau tidak boleh dibincangkan melalui saluran rasmi parti.
Sementara itu tegasnya, KEADILAN menghormati keputusan pengundi dengan tidak akan memberi apa-apa tekanan kepada Ahli Parlimen P. Prabakaran memandangkan itu bukan syarat yang ditetapkan parti sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.
Malah dalam pertemuan peribadi bersama Tian Chua juga tegasnya isu tersebut tidak dibangkitkan.
“Perkara ini boleh dirundingkan tapi setakat ni dalam pertemuan terakhir saya dengan Tian Chua, perkara ini tidak dibangkitkan lagi.
“Kita tidak perlu suatu hal yang mengeruhkan suasana… setakat ini tidak timbul (keperluan Prabakaran letak jawatan)
“Sekarang ini tak difikirkan dan tidak dijadikan syarat daripada awal (kempen PRU-14). Tapi saya tidak mahu buat keputusan muktamad. Terserah kepada perbincangan (rundingan parti). Biar rundingan ikut saluran parti. Saluran parti (iaitu) mesyuarat,” ujar Anwar lagi.
Pada Khamis, sebanyak 14 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan supaya Prabakaran mengosongkan kerusi Parlimen Batu bagi memberi laluan kepada Tian Chua untuk bertanding semula.
Dalam reaksinya, Prabakaran menegaskan, beliau tidak akan mengosongkan kerusi Parlimen itu dan berikrar untuk terus berkhidmat kepada rakyat secara telus serta adil walaupun mnerima desakan untuk berbuat demikian daripada pelbagai pihak.
Sebagai rekod, Tian Chua setelah dilucut kelayakan bertanding membantu memenangkan Prabakaran dengan berkempen untuk calon muda itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu. .