ZAHID HAMIDI ‘BOSS KITA’ PEGANG REKOD NEGARA?


Presiden UMNO, Zahid Hamidi dilaporkan akan didakwa di mahkamah esok dan lusa berhubung dakwaan rasuah melibatkan Sistem Visa Luar Negara (VLN) ketika beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.
SPRM yang telah mendapat kebenaran Peguam Negara berhubung pendakwaan itu difahamkan akan mendakwa Zahid Hamidi di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok dan di Mahkamah Shah Alam, lusa.
Dilaporkan Zahid Hamidi akan berdepan sekurang-kurangnya 40 pertuduhan di kedua-dua mahkamah tersebut.
Sebelum ini Zahid Hamidi sudah pun dihadapkan dengan 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akal Budi yang dipengerusikannya.
Ini bermakna, selepas pertuduhan esok dan lusa, bekas Timbalan Perdana Menteri itu bakal mengumpul sebanyak hampir 90 kes mahkamah melibatkan dirinya.
Berdasarkan jumlah pertuduhan itu, Zahid Hamidi barangkali akan mencatat rekod sebagai pemimpin politik yang menghadapi pertuduhan makamah paling banyak sekali sejak merdeka.
Apakah nasib beliau seterusnya?
Zahid Hamidi yang kini sedang bercuti sebagai Presiden UMNO dilaporkan sedang merancang untuk menamatkan tempoh percutiannya dalam waktu terdekat ini.
Blog ini ada menyiarkan perkara itu baru-baru ini, malah sempena kemunculannya semula itu Zahid Hamidi dikatakan akan mempopularkan panggilan “Boss Kita” untuk dirinya.
Para penyokongnya dilaporkan mencadangkan nama “Boss Kita” itu setelah mengambil kira bagaimana Najib Razak berjaya mempopularkan semula dirinya dengan imej baru “Malu Apa Bossku”.
Tetapi, dengan 40 pendakwaan baru yang bakal dihadapinya esok dan lusa ini, persoalan kini ialah bagaimanakah dengan rancangan beliau untuk menamatkan tempoh percutiaannya itu?
Apakah ia akan diteruskan atau Zahid Hamidi bakal memanjangkan tempoh percutiannya dengan lebih lama lagi? (Shahbudindotcom 25/06/2019)