Muktamar ke-65: Mampukah kerjasama Pas-Umno tewaskan PH?
ANALISA: Analisa awal Muktamar Pas kali ke 65 yang berlangsung pada minggu ini menunjukkan isu utama, kerjasama Pas – Umno yang bakal dibahaskan oleh para perwakilan masih diragui akan diyakini (endors) ahli bawahan menuju pilihan raya umum (PRU) ke 15.
Sementelah ahli akar umbi semakin keliru dengan langkah Pas terkini yang tidak menjauhkan diri daripada mantan Presiden Umno, Najib Razak, biar pun terpalit tuduhan menyalahguna kuasa ketika memimpin negara.
Bagi sebahagian ahli Pas, Presiden Hj Hadi sedang menghidapi pelbagai penyakit yang mengurangkan rasional pertimbangan politiknya. Maka tidak menghairankan beliau sering keluarkan kenyataan yang dianggap kurang cermat dan lebih banyak menyebelahi Umno yang kini diakui sekutu utama Pas.
Presiden dan kontroversi
Pelbagai kontroversi dalaman dan luaran telah dicetuskan oleh Presiden Pas sejak sebelum PRU 14. Gegak gempita alam maya baik oleh ahli atau bekas ahli dan bukan ahli.
Terbaru Hj Hadi mencetuskan isu 30% anak muda yang berumur 21 tahun dan mengundi Pakatan Harapan (PH) sebagai tidak mengaji kitab dan tidak belajar agama. Isu ini seolah-olah merendah-rendahkan daya intelektual anak muda. Barang diingatkan anak sulung Presiden Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang menang di DUN Batu Buruk mengantikan Dr Syed Azman, penyandang terdahulu dan nyaris dilantik sebagai anggota Exco Kerajaan Terengganu juga adalah anak muda.
Mutakhir ini menantu kesayangan Presiden dan adik ipar Ketua Pemuda Pas, Zaharuddin Mohamad juga anak muda dan bergelut dalam alam maya (siber) kerana berperang pendapat menentang arus semasa di atas beberapa isu dalaman Pas.
Oleh itu ungkapan anak muda tidak reti berfikir atau tidak baca kitab amat tidak wajar keluar dari mulut Presiden.
Pas masih relevan selama ini hanya kerana pegangan agama yang kuat dalam kalangan penyokongnya yang menjadi teras perjuangan. Maka Pas terus boleh bergerak dan aktif dalam arena politik Malaysia. Oleh itu, untuk kesinabungan masa depan adalah tidak wajar parti agama memperlekehkan serta tidak memberi pilihan kepada anak muda berpolitik.
Fatwa Qaradhawi
Pas yang mendakwa mempelopori perjuangan politik berasaskan Islam di Malaysia hari ini tidak lagi memiliki memonopoli gelaran itu. Selain Pas ada beberapa parti dan pertubuhan lain yang juga membawa perjuangan Islam seperti Amanah dan sebagainya walaupun dinafikan oleh sebahagian pejuang tegar serta beberapa kerat lulusan agama.
Kebanyakan pejuang yang lebih moderat merujuk kepada seorang syekh atau mahaguru iaitu Dr Yusuf Al Qaradhawi yang berpengkalan di Qatar.
Pandangan dan pendapat Dr Syeikh Yusuf ini tidak pernah disangkal atau ditakwil, jauh sekali ditolak oleh hampir semua pejuang Islam. Mereka sangat menghormati dan menyanjungi serta patuh kepada beliau.
Walau apa pun kokokan atau sergahan dan fatwa daripada Pas kepada yang telah keluar parti maka ianya telah dirujuk kepada syeikh tersebut dan Qaradhawi sebaliknya memberi restu ke atas berbilang jemaah dalam memperjuangkan Islam di Malaysia.
Restu itu menimbulkan kemarahan Presiden Pas kepada bekas pemimpin dan bekas ahli Pas yang telah bernaung dalam sebuah parti baru iaitu Amanah. Pelbagai kenyataan telah dikeluarkan dan disebarkan.
Sementelah lagi, parti Amanah bersama komponen dalam PH telah berjaya membentuk kerajaan baru dengan mengalahkan BN pada PRU lalu.
Pas berpaling kepada Umno
Oleh itu, sekonyong-konyong Pas berpaling memberikan sokongan secara terang-terangan kepada Umno demi untuk mendapatkan kuasa dalam PRU ke 15 menggunakan undi Melayu.
Ahli-ahli Pas di bawah mula kebingungan dan panas serta keliru menghadapi kebijaksanaan terbaharu ini. Akan tetapi akhirnya mereka membuat keputusan sama ada kekal, berdiam diri atau isytihar keluar Pas.
Mungkin terdapat pihak di luar Pas yang mengharapkan pada muktamar kali ini akan berlaku debat terbuka sama ada perlu menerima Umno atau tidak. Namun pemerhati politik menjangkakan sukar untuk melihat penolakan daripada muktamirin kerana Pas telah mengatur hanya pembahas yang tidak kontroversi dan tidak buat kecoh sahaja yang akan dibenarkan berucap menyokong dasar berbaik dengan Umno
Kempen hancing-pering
Sebaliknya, pemerhati menjangkakan pembahas akan meningkatkan kecaman terhadap pentadbiran PH pada sepanjang perhimpunan. Jeritan ‘Pakatan Hancing’ atau ‘tungangan DAP’ serta ‘anti kafir’ pasti akan berkumandang sepanjang 3 hari muktamar.
Begitu juga kecaman kepada menteri JPM yang menjaga hal ehwal agama Dr Mujahid Yusof Rawa juga gegak gempita kerana bencinya Pas kepada anak bekas Mursyidul Am yang pertama itu.
Kecaman hebat juga akan ditujukan kepada anak Nik Aziz, ustaz Nik Omar dan anak Fadzil Noor, Faiz Fadzil kerana menyertai Amanah.
Jeritan Syiah kepada Mohamad Sabu dan Adly Zahari turut diramal akan bersahut-sahutan.
Puji Bossku
Mungkin bagi ahli lama Pas, pada muktamar ini kali pertama dalam hidup mereka akan mendengar puji-pujian kepada bekas PM Malaysia Najib Razak yang dikenali sebagai Bossku
Dijangkakan terdapat pembahas yang akan mengusulkan agar Pas menyokong Najib yang sedang difitnah dan dizalimi oleh kerajaan PH.
Begitu juga tindakan MB Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang sering berjumpa PM Tun Mahathir mungkin akan dikecam.
Yang pasti dalam sejarah Pas, selepas Pas ditendang daripada BN pada 1978, hadirnya Presiden Umno Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Mohamad Hassan, Ismail Sabri, Anuar Musa, MB Pahang Wan Rosdi dan lain-lain yang kini dianggap suci akan memberi citra baharu kepada perjuangan Pas.
Citra ini akan menentukan Pas meraih sokongan rakyat pada PRU 15 atau sebaliknya.