Diam tak diam, sejak setahun lalu menjadi kerajaan bersama PH, PKR yang memiliki kerusi paling banyak dalam gabungan itu sudah mengalami tiga pergolakan dalamannya.
Kali pertama PKR bergolak ialah ketika Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi sebaik PH menang PRU14, sedangkan namanya tidak pernah dicalonkan oleh PKR untuk jawatan menteri kerana beliau ketika itu sudah pun mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.
Perlantikan itu kemudiannya membawa kepada pertandingan antara Rafizi Ramli menentang Azmin bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.
Malah, dalam kempen-kempennya Rafizi secara terus-terang mengatakan beliau mahu menjadi Timbalan Presiden PKR ialah agar laluan Anwar menjadi Perdana Menteri ke-8 tidak terganggu.
Sejak dilantik memegang jawatan kanan dalam kabinet itulah bermulanya timbul cakap-cakap bahawa Azmin adalah calon Perdana Menteri ke-8 pilihan sebenar Tun Mahathir Mohamad, walaupun Perdana Menteri terus berkata beliau akan berpegang kepada janji peralihan kuasa yang telah dipersetujui bersama PH.
Jika Azmin hari ini kekal sebagai Menteri Besar Selangor, sudah tentu namanya tidak didendangkan sebagai bayangan kepada Anwar untuk jawatan Perdana Menteri ke-8.
Kali kedua PKR bergolak ialah sewaktu Latheefa Koya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baru, awal bulan ini.
Selain tidak pernah orang politik dilantik mengetuai SPRM atau Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum itu, Latheefa juga adalah pemimpin PKR yang pro Azmin dan kerap mengkritik Anwar Ibrahim sejak kebelakangan ini.
Dalam hal ini ramai yang bingung bagaimana Tun Mahathir boleh melantik seorang peguam yang tiada pengalaman dalam bidang penyiasatan atau penguatkuasaab untuk mengetuai SPRM, kecuali jika ada agenda politik di belakangnya.
Sebagaimana perlantikan Azmin sebagai menteri dilihat satu usaha Tun Mahathir menaikkannya, perlantikan Latheefa turut ditanggapi sebagai percaturan memberi kelebihan kepada Timbalan Presiden PKR itu.
Kali ketiga PKR bergolak dan ketika perbualan ramai mengenai perlantikan Latheefa belum berakhir ialah bila tersebarnya video seks sejenis yang didakwa melibatkan Azmin, minggu lalu.
Haziq Abdullah Abdul Aziz, Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin, kemudiannya tampil membuat pengakuan beliaulah lelaki dalam video seks sejenis tersebut sambil mendakwa Azmin adalah pasangan seranjangnya.
Beliau juga mengakui telah menjalin hubungan intim dengan Azmin sejak tiga tahun lalu.
Sehingga ini tidak diketahui bagaimana dan kenapa video seks sejenis melibatkan Azmin itu boleh tersebar, malah siapa punya perancangan menyebarkannya juga tidak diketahui.
Haziq sudah pun diambil keterangannya oleh pihak polis, begitu juga dengan Azmin.
Dalam ketiga-tiga pergolakan dalaman PKR itu, semuanya ada kena-mengena dengan Azmin dan secara sipi-sipi seperti mahu menyasarkan Anwar.
Jika pergolakan pertama dan kedua dikatakan seperti mahu melemahkan Anwar, pergolakan ketiga secara tiba-tiba ada unsur mahu mengaitkan Presiden PKR itu sebagai dalang di sebaliknya.
Pergolakan pertama dicetuskan dengan sengaja oleh Tun Mahathir dan pergolakan kedua juga diombakkan secara langsung oleh Tun Mahathir.
Pergolakan ketiga belum diketahui siapa punya angkara, tetapi masuk akalkah pergolakan terbaru ini kalau mahu dikata ia didalangi oleh Anwar?
Atau semua ini sebenarnya sambungan kepada episod pertama dan kedua sebelumnya?
Mungkinkah ada lagi episod seterusnya untuk menghuru-harakan PKR lagi selepas ini? (Shahbudindotcom 18/06/2019)