Haziq berdepan tindakan pemecatan
Haziq Abdul Aziz tetap berdepan tindakan pemecatan dari jawatan setiausaha sulit kanan kerana tidak hadir bertugas, kata Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Md Akin.
Bagaimanapun, pentadbiran kementerian akan meneliti jawapan Haziq terlebih dahulu ke atas surat tunjuk sebab kerana tidak hadir bekerja sejak 11 Jun lalu.
Jelasnya Haziq yang membalas surat tunjuk sebab pada 14 Jun itu masih digantung tugas dari jawatan berkenaan pada masa ini.
“Haziq (menjawab) bahawa dia mengalami kemurungan selepas penularan video itu dan dia memerlukan masa untuk merujuk kepada kementerian.
“Dia masih lagi digantung, dan satu dua hari ini akan ada keputusan dan kita tidak akan menunggu masa yang lama (untuk buat keputusan).
“Antara tindakan adalah pemecatan” kata ahli Parlimen Hang Tuah jaya itu semalam kepada pemberita.
Haziq pada Rabu lalu mendakwa terlibat dengan skandal seks dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali, yang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut.
Haziq muncul dengan dakwaan itu selepas beberapa video menunjukkan aksi seks tersebar di WhatsApp pada hari beliau mula tidak hadir bertugas.