Skandal homoseksual tutup skandal Najib – SRC International?
Adakah pendedahan skandal terbaharu video semburit membabitkan menteri kanan kerajaan Pakaran Harapan (PH) direkayasa untuk menutup skandal kewangan yang melibatkan bekas PM Najib Razak dan SRC International?
Penganalisis kewangan, Jameson Tan berpendapat teori tersebut tidak boleh diambil mudah memandangkan kerajaan PH mempunyai banyak musuh yang berpotensi berbuat demikian.
“Saya percaya musuh PH telah lama merancang untuk menjatuhkan Kerajaan PH.
“Juga ‘insiden’ tersebut telah berjaya memperdayakan ramai orang terutamanya masyarakat Melayu supaya melupakan kes skandal SRC International di mana mantan Perdana Menteri, Najib Razak telah didakwa di mahkamah. Banyak bukti skandal SRC telah didedahkan di mahkamah dan lambat-laun mahkamah pun terpaksa memberi keputusan.
“Untuk kes Azmin pula, apabila dokumen pemindahan wang yang kononnya berasal dari Maybank adalah palsu maka dapat dirumuskan kebarangkalian video seks itu adalah palsu dan ini semua adalah usaha musuh PH untuk menjatuhkan Kerajaan PH.
“Saya ingin merakamkan kekecewaan saya bahawa isu video seks kerapkali memainkan peranan dalam senario politik Malaysia dan ini memang memberikan satu imej yang buruk kepada Kerajaan Malaysia.
“Kali ini, dibawah pimpinan Kerajaan PH, tindakan serius mesti diambil ke atas orang yang mendalangi video seks tersebut supaya perkara begini tidak akan berulang lagi,” katanya kepada Suara Pakatan Daily.
Dalam perkembangan yang lain, skandal video seks juga telah memudarkan berita pengumuman Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengenai statistik kemasukan pelaburan asing ke Malaysia yang mengujakan.
Malah, katanya, kesan ekonomi kepada masyarakat awam juga semakin tidak kelihatan apabila skandal seks diutamakan dalam kalangan rakyat biasa. Beliau mensyorkan agar kerajaan berbuat lebih banyak membantu ekonomi rakyat agar pemulihan ekonomi lebih dirasai dan berubah kepada sokongan.
“Statistik adalah relatif. Jika kebanyakan rakyat Malaysia berasa kos sara hidup adalah tinggi, maka ini menunjukkan kesan pelaburan asing yang masuk ke Malaysia itu tidak dirasai oleh rakyat umum.
“Lim juga patut ingat bahawa nilai matawang Malaysia berbanding dengan nilai matawang Singapura telah merosot dengan banyak. Dulu di zaman Tok Kadok, nilai matawang Malaysia adalah sama dengan Singapura tetapi sekarang kadar pertukarannya adalah RM3 untuk 1 Dolar Singapura.
“Dengan sumber hasil yang baik, negara Malaysia masih belum mampu bersaing dengan Singapura kerana terlalu banyak permainan politik di Malaysia selain dari isu rasuah dan penyelewengan wang yang begitu meluas. Ini amat malang sekali memandangkan Malaysia sebenarnya berpotensi untuk menjadi sebuah negara yang terunggul di rantau ASEAN,” sambung Jameson.