Kerajaan siasat punca kematian Orang Asli secara menyeluruh – Tengku Zulpuri



Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, yakin siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian 14 penduduk Orang Asli di Kg Kuala Koh Gua Musang, seperti yang dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail baru-baru ini.


Siasatan tersebut katanya termasuk terhadap pihak yang terlibat dalam aktiviti pencerobohan hutan dan perlombongan haram.


“Banyak spekulasi timbul dan kerajaan sedang menjalankan siasatan terperinci melalui bedah siasat dan persampelan.


“Kita bukan sahaja nak tahu punca penyakit yang sebabkan kematian tapi juga nak siasat bagaimana ia boleh berlaku agar kerajaan dapat mengambil tindakan tepat,” katanya yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan.


Wan Azizah dalam laporan media sebelum ini berkata, dakwaan kematian disebabkan oleh pencemaran kolam sumber air Orang Asli akan disiasat dengan teliti.


Tengku Zulpuri turut merujuk kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad yang tidak menolak kemungkinan beberapa gejala kesihatan yang dihadapi penduduk memiliki kebarangkalian disebabkan kekurangan zat makanan atau akibat beberapa jenis logam berat.


Tambahnya, ujian darah yang di ambil dari semua pesakit akan dapat menjelaskan keadaan sebenar.


“Ia dapat menyatakan ketepatan apa yang  berlaku dan dipadankan dengan persekitaran kehidupan mereka, tentunya ianya memerlukan sedikit masa bagi pembuktian tersebut,” ujarnya.


Sementara itu, Ketua Pemuda PH Kelantan, Mohd Khairul Amin Abdul Rahman dalam satu laporan polis mendakwa, penduduk dilanda pelbagai penyakit bermula pada bulan Mei sejak operator lombong didapati sering mencuci peralatan melombong mereka dalam tandak air yang digunakan penduduk.


“Ramai penduduk kampung sejak awal tahun ini telah menghidapi penyakit kulit bersisik yang bernanah.


“Sejak awal bulan Mei tahun ini, ramai penduduk kampung telah diserang sakit radang paru-paru (pneunomnia) yang serius hingga menyebabkan kematian seperti yang dilaporkan oleh media arus perdana,” katanya.


Justeru, pihak berkuasa digesa mengeluarkan arahan agar segala aktiviti perlombongan haram itu dihentikan sementara siasatan sedang dijalankan.