KENAPA RAIS YATIM TIBA2 MEMBODEK TUN M?


Walaupun tidak dinafikan Rais Yatim menyokong PH menjelang hari-hari terakhir sebelum pengundian PRU14 lalu, tetapi beliau hanya menyerahkan borang menyertai Bersatu pada 4 Jun 2018.
Ini bermakna kemasukannya ke dalam keluarga PH hanyalah setelah gabungan itu menang PRU14 menewaskan BN pada 9 Mei 2018.
Juga kemasukannya ialah setelah PH berjaya menjadi kerajaan dan setelah Tun Mahathir Mohamad bergelar Perdana Menteri buat kali kedua.
Berdasarkan hakikat itu, boleh jadi jika PH tidak menang pada PRU14 lalu, Rais juga tidak akan menyertai Bersatu.
Hakikatnya, beliau menyertai UMNO setelah PH menjadi kerajaan dan setelah Tun Mahathir bergelar Perdana Menteri. Lebih daripada itu, beliau menyerahkan borang keahliannya juga kepada Tun Mahathir selaku Pengerusi Bersatu merangkap Perdana Menteri.
Itulah Rais yang dulu pernah membakar jambatan meninggalkan UMNO untuk bersama-sama Tengku Razaleigh Hamzah dalam Semangat 46, kemudian membina jambatan baru untuk kembali semula bersama UMNO dalam era kepimpinan Tun Mahathir yang pernah dimusuhinya.
Sejak itu, beliau dapat bertahan dengan jawatan menterinya sehinggalah ke era kepimpinan Najib Razak, sebelum membakar jambatan sekali lagi meninggalkan UMNO untuk menyertai Bersatu.
Keluar masuk UMNO dan berbaik serta bermusuh dengan Perdana Menteri boleh dikata bukan sesuatu yang asing bagi Rais.
Sementara itu, persetujuan untuk melantik Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana dan Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 sekiranya gabungan itu menang PRU14 telah diputuskan dalam Kongres Pakatan Harapan yang diadakan di Shah Alam pada 7 Januari 2018.
Keputusan lain dalam kongres tersebut ialah membebaskan Anwar dan memohon pengampunan penuh bagi tujuan membolehkannya kembali aktif dalam politik.
Oleh kerana ia adalah keputusan kongres yang dimuktamadkan secara muafakat oleh keempat-empat parti dalam PH, bermakna ia adalah perjanjian bertulis yang ada hitam putihnya.
Pada tarikh kongres itu diadakan, Rais masih lagi ahli UMNO, malah mungkin masih kuat menyokong Najib Razak dan Rosmah Mansor.
Maka, jauh sekali ketika itu beliau ada terlibat atau tahu tentang sebarang keputusan atau persetujuan yang dibuat oleh PH mengenai kedudukan Anwar.
Lalu, tentulah menghairankan apabila Rais dalam kenyataannya hari ini berkata, tiada sebarang perjanjian hitam putih untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Apakah tujuan Rais mengeluarkan kenyataan yang beliau sebetulnya tidak terlibat atau tidak tahu kedudukan yang sebenar?
Lupakah sebelum ini ketika wujud desakan dalam Bersatu agar Tun Mahathir berkhidmat sebagai Perdana Menteri sehingga ke hujung penggal, Rais sendiri tidak setuju dengannya sambil mengingatkan semua pihak agar perasaan Anwar dan Dr. Wan Azizah perlulah dijaga?
Tidakkah ia memberi gambaran Rais sendiri anat sedar ketika itu Anwar adalah pengganti kepada Tun Mahathir?
Mengapa tiba-tiba hari ini beliau berubah nada?
Adakah Rais masih waras atau beliau sedang membodek dan mengampu Tun Mahathir kerana mengharapkan sesuatu?
Benarkah juga perkhabaran yang sedang tersebar luas mengatakan Rais merupakan antara yang sedang melobi untuk menjadi TYT Melaka menggantikan Tun Khalil Yaakob? (Shahbudindotcom 23/06/2019)

No comments: