Anwar ingatkan Azmin fokus ekonomi, bukan kritik Izzah
Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini menasihatkan Timbalannya, Azmin Ali bertenang dan menumpukan perhatian untuk menangani isu di peringkat pusat, bukannya sibuk mengkritik anaknya, Nurul Izzah.
Beliau berharap kenyataannya dapat meredakan keadaan kerana paling penting ialah masing-masing menjalankan tugas sendiri untuk memulihkan ekonomi negara.
“Saya harap dengan penjelasan ini redalah. Masing-masing ada tugas besar bangunkan ekonomi rakyat, sibuk hal ini buat apa?” soalnya di lobi Parlimen.
Semalam, Azmin dilihat seperti membidas Nurul Izzah di Twitter dengan berkata, Malaysia memerlukan pelaksana yang sanggup mengharungi keadaan sukar, bukannya budak kecil yang merengek.
Ia selepas ahli Parlimen Permatang Pauh itu memberi gambaran ini adalah penggal terakhirnya menjadi wakil rakyat.
Nurul Izzah dalam temubual dengan akhbar Singapura, Straits Times turut menyuarakan kekecewaannya terhadap perkembangan politik negara selepas pilihan raya umum tahun lalu, selain tidak berpuas hati dengan kekurangan naratif jelas mengenai usaha memperkuatkan aliran pertengahan dan penyertaan bekas ahli Parlimen Umno dalam Pakatan Harapan.
Katanya, tidak mudah bekerja dengan “bekas diktator” yang menjadi punca berlakunya begitu banyak kerosakan, “bukan sahaja kehidupan kami, tetapi juga sistem”.
Minggu lalu, Nurul Izzah meletak jawatan sebagai ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Dr Mahathir Mohamad membenarkan Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee terus mengetuai jawatankuasa itu selepas menyertai PPBM, 15 Mac lalu.