TUN MAHATHIR PERLU HENTI KEGHAIRAHAN AHLI PARLIMEN UMNO MASUK BERSATU




Meskipun tindakan keluar UMNO oleh beberapa bekas pemimpinnya adalah pilihan mereka sendiri yang mungkin didorong oleh pelbagai sebab dan faktor, tetapi kemasukan mereka ke dalam Bersatu tidak sewajarnya dialu-alukan, apalagi dibentangkan dengan "karpet merah".

Di sebalik Bersatu mahu menjadi pengganti UMNO, yang dialu-alukan berpindah parti seharusnya ialah ahli di peringkat bawahan atau cawangan dan bukannya pemimpin atasan yang pernah mencaci dan memandang rendah parti itu dan Tun Mahathir Mohamad sendiri sebelum ini.

Yang jelasnya, pemimpin UMNO yang keluar parti dan memilih menyertai Bersatu itu bukanlah kerana mereka yakin dengan perjuangannya atau sebab bersetuju dengan Tun Mahathir, tetapi semata-mata kerana kepentingan peribadi yang disebabkan UMNO sudah tidak lagi berkuasa.

Kalau mereka yakin dengan Bersatu dan mempercayai perjuangan Tun Mahathir, sudah pasti sebelum pilihanraya umum dulu lagi mereka sudah meninggalkan UMNO.

Jika hari ini UMNO masih lagi berkuasa, sudah tentu juga caci maki mereka kekal berterusan terhadap Tun Mahathir dan yang dipuja dan dan disanjung tetaplah Najib Razak dan Rosmah Mansor.

Alasan kononnya kemasukan ke dalam Bersatu untuk kepentingan rakyat tidak lebih sekadar pemanis mulut untuk menutup segala kepentingan diri mereka.

Selepas masuk ke dalam Bersatu dan berpelung berdamping rapat dengan Perdana Menteri, dengan kedudukan sebagai Ahli Parlimen, Adun atau bekas Ketua UMNO Bahagian, biasanya kecenderungan mereka seterusnya ialah melobi dan mencium tangan Tun Mahathir untuk tujuan memperolehi jawatan dan kedudukan dalam kerajaan.

Akhirnya, bukan saja pejuang-pejuang asal dalam Bersatu akan tenggelam dan ketinggalan, bahkan Bersatu akan dipenuhi dengan oleh "sampah sarap" daripada UMNO belaka.

Apakah keadaan itu yang Tun Mahathir mahukan berlaku kepada Bersatu?

Lagi pula, Pakatan Harapan sudah mempunyai majoriti yang agak selesa dalam Parlimen sekarang ini. Tanpa kemasukan Ahli Parlimen UMNO pun, kerajaan yang ada masih mampu berjalan dengan baik.

Selain bertentangan dengan kehendak rakyat yang telah menolak UMNO dalam pilihanraya umum lalu, penerimaan kemasukan Ahli Parlimen UMNO ke dalam Bersatu, dimulai dengan Mustapa Mohamad, kemudian Ahli Parlimen Bagan Serai dan semalam Ahli Parlimen Masjid Tanah menyerahkan borang keahlian, selepas ini mungkin disusuli pula oleh segerombolan bekas pemimpin dari Sabah dan Ahli Parlimen Semenanjung yang bermasalah, trend ini yang semacam dialu-alukan oleh Tun Mahathir sendiri hanya menyebabkan timbulnya cakap-cakap bahawa beliau ada maksud lain di sebaliknya.

Memandangkan kerajaan Pakatan Harapan sudah stabil dan telah ada persetujuan untuk beliau menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim, sebenarnya tiada keperluan sama sekali untuk membawa Ahli Parlimen UMNO menyertai Bersatu.

Untuk apa Tun Mahathir mahu menambahkan lagi jumlah Ahli Parlimen dalam Bersatu, sedangkan dalam setahun setengah lagi beliau mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar?

Dalam waktu yang sama, tindakan Tun Mahathir menerima dan menggalakkan kemasukan wakil-wakil rakyat UMNO ke dalam Bersatu juga bertentangan dengan kenyataannya sendiri yang pernah mengatakan bahawa kerajaan memerlukan pembangkang yang kuat bagi memastikannya dapat mentadbir kerajaan dengan betul.

Tun Mahathir menganggap pembangkang yang kuat ibarat cermin yang boleh menjadikan kita sentiasa dalam keadaan baik dan kemas setiap hari.

"Tak usah lama, cuba kita tak payah tengok cermin dalam tiga hari dan kemudian pergi bekerja seperti biasa, ketika itu tengoklah keadaan diri kita," demikian antara kata-kata yang pernah dilafazkan oleh Tun Mahathir.

Oleh yang demikian, Tun Mahathir perlu menghentikan kemasukan Ahli Parlimen, Adun dan bekas pemimpin UMNO ke dalam Bersatu ini serta biarkan mereka berperanan sebagai pembangkang yang menyumbang ke arah kebaikan kepada kerajaan dan juga negara.

Bagi tujuan itu, Tun Mahathir bukan saja wajib mengeluarkan kenyataan yang tegas tidak akan menerima kemasukan mereka ke dalam Bersatu, bahkan sebaiknya juga tidak melayan sebarang permintaan mereka yang mahu berbuat demikian.

Kerajaan Pakatan Harapan, dengan sokongan rakyat yang telah membuat keputusan menolak UMNO dan BN mesti dikekalkan sehingga PRU14 akan datang. Ini adalah pilihan rakyat yang memberi undi kepada Pakatan Harapan.

Membawa lebih ramai bekas wakil rakyat UMNO ke dalam Bersatu hanya memungkinkan Bersatu menjadi UMNO 2.0 dan bukan menjadikan Bersatu sebagai pengganti UMNO.

Dalam keadaan itu nanti, masihkah rakyat mahu terus memberi sokongan kepada Bersatu? (ShahbudinHusin 14/12/2018)

No comments: