ICERD ATAU ICURI?
Tamrin Tun Ghafar
Khamis - 06/12/18
( 1 - 31 )
1. Saya amat tertarik dengan lakaran - lakaran kartun Zunar dan beberapa kartunis lain dengan tajuk dan motif kelakar tapi penuh dengan mesej dan pesanan.
2. Jika lakaran seperti yang dilampirkan ini dilukis semasa zaman Najib memerintah dahulu sudah pasti bukan sahaja lakaran tersebut dirampas dan dimusnahkan, malah pelukisnya akan dipenjarakan.
3. Sebagai contoh Zunar bukan sahaja pernah dikasari tapi pejabat beliau digeledah; 9 tajuk buku karyanya beserta ribuan buah jilidnya turut dirampas.
4. Tidak cukup dengan itu , beliau juga pernah dilokapkan sebanyak 5 kali , dan dikenakan 9 pertuduhan dibawah beberapa Akta dan Undang - Undang seperti Akta Hasutan, Akta Multimedia, Penal Code , Undang - Undang Immigration dan beberapa undang - undang lain . Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjarakan selama 45 tahun.
5. Itulah demokrasi dan kebebasan bersuara ala Najib yang dilaung - laungkan di pentas antarabangsa tetapi di dalam negara sesiapa sahaja yang menentang beliau akan ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.
6. Saya sendiri pernah bermalam di lokap polis Jinjang Kuala Lumpur bersama Tian Chua ( mantan MP Batu ) , Hishamuddin Rais , Adam Adli , Haris Ibrahim dan beberapa orang rakan lain.
7. Kesalahan kami ialah kerana menuduh UMNO/BN menipu dalam PRU 13 dahulu, justeru kami dituduh dibawah Akta Hasutan.
8. Selepas 5 tahun dan selepas rakyat menumbangkan Kerajaan UMNO/BN barulah kes kami selesai.
9. Polis dibawah Khalid Bakar, Apandi Ali , Peguam Negara dan Dzulkifli Ahmad , KP SPRM adalah ulat dan alat Najib dan Rosmah ketika itu; kerja mereka ialah menangkap siapa saja yang dilihat menentang Najib.
10. Mereka mewah dan bermaharajalela.
11. Boleh dibayangkan apakah tindakan Najib dan Rosmah terhadap Zunar dan kartunis lain termasuk mereka yang tidak sebulu dengannya; yang mewah ialah pemakan - pemakan dedak - CASH IS KING.
12. Walaupun dibenci dan dizalimi namun masyarakat antarabangsa amat kagum dengan lakaran - lakaran beliau.
13. Zunar telah dihormati dengan beberapa anugerah berprestij seperti :
a. Courage In Editorial Cartooning Award - 2012.
b. International Press Foundation Award, New York - 2015.
c. Cartooning For Peace Award - 2016 , Geneva - oleh Kofi Annan, mantan Setiausaha Agong Pertubohan Bangsa Bangsa Bersatu atau United Nation dan beberapa penghormatan lain.
14. Di satu segi Najib telah berjaya memperdaya dan menipu masyarakat antarabangsa dengan slogan ‘Freedom of Speech’ atau Kebebasan Bersuara, dasar ‘Moderation’ atau Kesederhanaan dan amalan Demokrasi tulin yang kononnya menjadi pegangan Kerajaannya sedangkan apa yang dilakukan terhadap musuh - musuh politiknya lain sekali.
15. Sebagai contoh kekerasan dilakukan terhadap perhimpunan BERSIH yang mendesak setiap Pilihanraya mestilah bersih dari sebarang kecurigaan dan salahlaku, dan dalam masa yang sama DBKL tidak membenarkan rakyat berhimpun di padang Dataran Merdeka.
16. Ramai pemimpin BERSIH dipukul, diheret dan dihumbankan ke dalam trak polis.
17. Perkara yang sama berlaku terhadap penuntut - penuntut universiti yang berhimpun mendesak GST dihapuskan.
18. Itulah cara Najib dan Kerajaan UMNO /BN memerintah.
19. Perbezaan begitu ketara sekali apabila Kerajaan PH yang dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri tidak teragak - agak membenarkan rakyat berhimpun pada 08/12/18 dengan syarat mereka mesti menghormati Perlembagaan dan undang - undang.
20. Tidakkah Zahid selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN yang pernah melakukan apa saja yang boleh bagi menggagalkan segala apa yang hendak dilakukan oleh pembangkang ketika itu sedar dan merasa malu dengan kelulusan yang diberi bagi memudahkan Perhimpunan pada 8hb Disember nanti?
21. Perhimpunan kali ini agak unik sedikit kerana buat pertama kalinya UMNO dan PAS akan bersama seperti pasangan pengantin tua yang hampir senja.
22. Bagi menjaga air muka masing-masing, Zahid dan Hadi terpaksa meneruskan Perhimpunan pada 8hb Disember ini bagi membantah ICERD sedangkan Kerajaan sendiri telah mengumumkan secara rasmi bahawa kerajaan TIDAK AKAN menandatangi deklarasi tersebut.
23. Oleh kerana berbagai publisiti telah dibuat begitu juga ribuan wang ringgit telah dibelanjakan maka Perhimpunan ini suka tak suka terpaksa diteruskan dengan alasan - alasan yang remeh.
24. Saya dan ramai lagi akan sama - sama turun padang jika sekiranya Perhimpunan itu diadakan bagi menuntut dari Najib dan keluarganya memulangkan semula duit rakyat yang disamun mereka melalui 1MDB.
25. Begitu juga beratus juta ringgit lesap daripada Tabung Haji yang mana 7 juta orang Islam terutama makcik dan pakcik di kampung menabung di Lembaga itu bagi memudahkan mereka ke Mekah.
26. Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan Perhimpunan itu akan diadakan bagi melakukan doa dan solat kesyukuran kerana Kerajaan tidak akan menandatangani ICERD.
27. Hadi pula dengan alasan hendak mengajar Menteri - Menteri yang tidak menghormati Perdana Menteri.
28. Zahid dan beberapa ahli UMNO pula mahu memprotes ICERD.
29. Dengan berbagai alasan diberikan mereka, ini semua membuktikan mereka ini bodoh sombong yang tak boleh diajar.
30. Kan lebih bermakna jika mereka gunakan Perhimpunan ini menuntut Najib , Rosmah dan Jho Low memulangkan kembali harta rakyat yang mereka rompak dari senyap seribu bahasa dan berpeluk tubuh tidak bersuara.
31. Yang akan berkumandang di udara ialah laungan ' Takbir' dan ‘Hidup Najib’ bukannya 'Najib , pulangkan duit kami'.
Terima kasih.