Menteri Luar Arab Saudi sahkah derma RM2.6b tiada kaitan negaranya
Menteri Luar Arab Saudi Adel Ahmed Al-Jubeir menyatakan derma RM2.6 bilion yang didakwa diterima bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah selepas menerima kunjungan Adel di Wisma Putra di sini hari ini.
Dalam pertemuan yang turut menyentuh mengenai isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta derma RM2.6 bilion, Saifuddin berkata : “Beliau (Adel) menyatakan bahawa (derma RM2.6 bilion) tidak ada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi.”
Menurutnya, ketika mereka bertemu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke-73 di New York pada bulan lepas, Adel memberitahunya bahawa kerajaan Arab Saudi akan bekerjasama dalam siasatan 1MDB dan tiada kaitan dengan derma RM2.6 bilion.
“Hari ini ulangi sekali lagi bahawa itu tiada kaitan dengan Arab Saudi,” katanya kepada pemberita selepas turut hadir pada kunjungan hormat Adel terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Perdana Putra di Putrajaya.
Pada 2016 ketika menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ke-13 di Istanbul, Turki, Adel dilaporkan berkata sumbangan derma kepada Najib datang dari Arab Saudi.
“Kami sedar tentang derma itu dan ia memang benar-benar sumbangan tanpa mengharapkan apa-apa balasan. Dan kami juga sedar bahawa Peguam Negara Malaysia telah menjalankan siasatan teliti mengenai perkara itu dan mendapati tiada salah laku.
“Justeru, setahu kami, isu itu ditutup,” kata Adel seperti dilaporkan pada 2016.
Pada Januari 2016, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan dana RM2.6 bilion yang dikatakan telah dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata dalam pertemuan mereka itu, beliau turut menyampaikan keputusan kabinet bahawa Malaysia tidak akan menganggotai gabungan tentera pimpinan Arab Saudi terhadap Yaman.
“Pada masa ini, semua askar kita sudah balik dan kita sudah tidak terlibat,” katanya.
Berhubung cadangan untuk menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), Saifuddin berkata perkara itu turut dibincangkan.
“Idea itu pun belum dilaksanakan dan kita tidak akan laksanakan,” katanya.
Mengenai operasi usaha sama Petronas dan Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco), Saifuddin berkata perkara itu akan dibincangkan kedua-dua syarikat itu.
“Kedua-dua pihak mahu kerjasama itu dipertingkatkan. Yang paling utama, jumlah dagangan antara kedua-dua negara akan dipertingkatkan,” katanya.
Ditanya berhubung beberapa keputusan kerajaan yang melibatkan kerajaan Arab Saudi, Saifuddin berkata hubungan kedua-dua negara kini berada pada peringkat sangat baik dan mesra.
“Kita mahu meningkatkan lagi kerjasama ini dan persefahaman ini harus dibuat mengikut saluran biasa. Ini bermakna perbincangan menteri luar dan menteri luar sahaja.
“Di bawah kerajaan Pakatan Harapan, kita tidak lagi ada menteri-menteri tugas khas yang membuat kerja-kerja ini,” katanya.