Gobind kenang jasa pejuang reformasi, demokrasi


Tanpa pengorbanan pemimpin Pakatan Harapan yang berjuang demi rakyat dan negara, Malaysia tidak akan dapat mencapai kejayaan seperti hari ini, kata Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.

Katanya, melalui hasil kerja keras yang berterusan, PH berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Kita masih ingat, pejuang-pejuang kita masa itu (semasa menjadi pembangkang), kita ada saudara Lim Kit Siang… semua orang kenal jasa beliau, kita juga ada mendiang Karpal Singh… orang juga kenal perjuangan beliau.

“(Malah) Kalau tidak untuk orang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya rasa Malaysia tidak akan mencapai (kejayaan) sekarang, iaitu suatu kerajaan baharu, di mana kita bersama-sama menewaskan Barisan Nasional dan menegakkan satu kerajaan baharu dalam Malaysia baharu.

“Beliau memulakan gerakan reformasi, 20 tahun dahulu, keluar masuk penjara, tetapi masih pegang kukuh kepada keyakinan bahawa Malaysia ini boleh diselamatkan,”  katanya pada ceramah di Lukut, Port Dickson, semalam.
Ceramah Perdana Pakatan Harapan di Lukut malam tadi turut dihadiri Anwar yang merupakan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson serta pemimpin tertinggi PH lain.

Gobind yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, tiada individu yang lebih berkuasa di negara ini selain daripada rakyat.

“Melalui pilihan raya, kita dapat tukar kerajaan. Bila kita tukar kerajaan, tidak ada kecoh, tidak ada kacau, tidak ada gaduh. Kita sebagai rakyat Malaysia kita semua matang.

“Kita menunjukkan kepada dunia, bahawa di Malaysia ini yang paling kuat bukan siapa-siapa individu, yang paling kuat adalah rakyat Malaysia,” ujarnya. 


No comments: