Melayu semakin menjauh daripada UMNO


Pemimpin UMNO seolah-olah mengakui sudah kehabisan modal politik apabila terus mempergunakan sentimen agama dan kaum untuk meraih simpati politik khususnya setelah tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
Tindakan mengapi-apikan dakyah jahat itu kata Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji semakin jelas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis minggu lalu apabila Ahli Parlimen Pasir Salak membuat tuduhan kononnya Putrajaya sudah ‘dikuasi Kristian’.
“Sejak tewas pilihan raya, kita dapat lihat perangai UMNO semakin menjadi-jadi mempergunakan sentimen perkauman dan agama untuk dapat sokongan khususnya daripada orang Melayu.
“Tapi kita sendiri dapat lihat bahawa orang Melayu sendiri semakin menjauhkan diri dari permainan politik sebegini, BN gagal di Sungai Kandis, pengundi Melayu tolak politik toksik seperti itu” katanya ketika dihubungi Roketkini.
Jelasnya, penolakan terhadap UMNO semakin jelas apabila semakin ramai orang Melayu beralih arah menyertai parti-parti politik lain seperti DAP, PKR, Amanah dan Bersatu.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berkata, UMNO ibarat memperbodohkan diri sendiri apabila terus menggunakan sentimen perkauman untuk meraih simpati orang Melayu.
“Rakyat tahu, orang Melayu tahu, segala kerosakan, penyelewengan, rasuah yang berleluasa, penghakisan tanah-tanah rizab Melayu dan sebagainaya bukan disebabkan DAP atau pembangkang lain tapi akibat kegagalan serta kelemahan kerajaan BN yang ditunjangi UMNO selama ini.
“Rakyat lihat apa yang mereka lakukan selama ini, tak perlu tuduh orang lain,” katanya lagi