Parlimen: Ahli parlimen BN hilang arah, bahas isu-isu remeh
Selepas seminggu sesi parlimen, pihak pembangkang BN dan Pas masih belum membangkitkan isu-isu penting dan relevan di Dewan Rakyat. Mereka hanya membangkitkan isu remeh-temeh.
Mislanya isu 1Malaysia Development Berhad langsung tidak disentuh pihak pembangkang. Sebaliknya Ahli Parlimen Ayer Hitam, Wee Ka Siong dari MCA baru-baru ini membangkitkan isu ‘mengarut’ kononnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng (DAP) hanyalah seorang Penyimpan Kira-kira dan Menteri Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali lebih berkuasa.
Mengulas kenyataan itu, Exco Perak Datuk Seri Ir Nizar Jamaluddin berkata, tidak sewajarnya ahli parlimen pembangkang membazirkan masa bertanya soalan-soalan remeh dan tidak berfaedah kepada rakyat dan negara.
“Tidak usah Wee bangkitkan perkara remeh. Apakah niat Wee sebenarnya?
“Yang penting ialah soalan dijawab dengan betul dan tepat bukan seperti era BN dulu di mana soalan Ahli Parlimen PH dijawab dengan soalan lain atau langsung tidak dijawab,” katanya kepada Suara pakatan daily.
Nizar juga berpendapat BN masih tidak tahu bagaimana hendak berfungsi sebagai pembangkang kerana ‘serangan’ mereka terhadap ahli-ahli Parlimen PH adalah lemah, tidak relevan, tidak disokong dengan fakta serta banyak di antara hujah-hujah mereka tiada kaitan langsung dengan isu penting seperti ekonomi dan kewangan.
Menurutnya, kalau hal itu berterusan maka tidak perlu BN bermimpi ingin menang Pilihanraya Umum Ke-15.
“Sudah jelas lagi terang bersuluh BN hanya tahu menggunakan isu-isu perkauman dan agama untuk meraih sokongan. Itu zaman politik kolot.
“Malaysia sedang mengorak langkah ke alaf baru dan rakyat sudah membenamkan era politik perkauman. Tetapi pemimpin-pemimpin Umno masih tidak insaf lagi dan sedang menunjukkan kebodohan mereka apabila membuat kenyataan bodoh berkenaan kematian dua ADUN di Selangor baru-baru ini,” tambah Nizar.